LOS ANGELES: Gunung berapi Mauna Loa di Hawaii memuntahkan lahar setinggi 60 meter, sekali gus mencipta beberapa aliran lava daripada gunung berapi aktif terbesar dunia.
Setakat ini, empat rekahan dikesan di gunung berapi itu, yang mula meletus Ahad lalu buat pertama kali dalam tempoh hampir 40 tahun.
Badan Pemantau Geologi Amerika Syarikat (USGS) menganggarkan letusan tertinggi adalah sekitar 30 ke 60 meter, namun kebanyakan letusan adalah lebih kecil.
"Terdapat gumpalan gas yang jelas kelihatan keluar dari rekahan gunung berapi serta limpahan lahar, dengan angin meniup gumpalan itu ke arah barat laut," katanya, memaklumkan tiada risiko kepada penduduk dan infrastruktur berhampiran gunung itu buat masa ini.
Menurut USGS, lahar yang melimpah keluar ketika ini terkumpul di Zon Rekahan Timur Laut, namun memberi amaran mengenai sifat Mauna Loa yang dinamik dan boleh berubah pada bila-bila masa.
"Rekahan tambahan boleh berlaku di Zon Rekahan Timur Laut di bawah lokasi semasa, dan limpahan lahar boleh terus mengalir ke bawah," katanya.
USGS berkata, tekanan sudah terkumpul di Mauna Loa sejak beberapa tahun, dan letusan boleh dilihat sejauh 72 kilometer di bandar Kona.
Meskipun lahar gunung berapi itu belum mencetus risiko pada penduduk, saintis berpandangan tiupan angin boleh membawa gas dan abu gunung berapi itu ke bawah gunung.
Pihak berkuasa Hawaii belum mengeluarkan sebarang arahan berpindah setakat ini, namun kawasan berhampiran puncak gunung dan beberapa laluan di wilayah itu ditutup, manakala dua pusat pemindahan sudah dibuka sebagai persediaan. - AFP