Isnin, 28 November 2022 | 6:05pm
Penyelamat berusaha untuk menyelamatkan dua penumpang selepas pesawat itu terhempas dan terperangkap dalam talian kuasa. - Foto AP
Penyelamat berusaha untuk menyelamatkan dua penumpang selepas pesawat itu terhempas dan terperangkap dalam talian kuasa. - Foto AP

2 terselamat dalam nahas pesawat kecil

WASHINGTON: Dua orang cedera parah selepas terperangkap di dalam pesawat kecil yang merempuh tiang kuasa voltan tinggi berhampiran Washington.

Insiden itu menyebabkan gangguan kuasa elektrik besar-besaran, bagaimanapun kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan.

Ketua Bomba Montgomery, Scott Goldstein berkata, mangsa kemudian dibawa ke pusat trauma dengan kecederaan serius.

Kedua-dua mereka mengalami hipotermia kecederaan ortopedik dan trauma.

Pesawat itu terhempas kira-kira jam 5:30 petang (waktu tempatan) dalam keadaan berkabus dan basah di Montgomery, Maryland.

Ia kemudian terperangkap pada talian kuasa hidup kira-kira 100 kaki (30 meter) dari tanah.

Menurut Goldstein, kebanyakan kuasa di daerah itu berjaya dipulihkan.

"Dua hospital kembali beroperasi pada kapasiti penuh," katanya.

Syarikat utiliti Washington Pepco berkata, ia berjaya memulihkan perkhidmatan elektrik untuk semua pelanggan yang terjejas akibat insiden itu.

"Syarikat terus menstabilkan infrastruktur tenaga di tempat kejadian dan menilai kerosakan sebelum memulakan pembaikan," tambahnya.

Menurut Pejabat Pengurusan Kecemasan & Keselamatan Dalam Negeri Montgomery, pekerja masih berusaha mengeluarkan pesawat dari talian elektrik.

Sebelum ini, Goldstein berkata pegawai penyelamat berhubung dengan penghuni dengan menghubungi telefon bimbit mereka.

Menurut FAA, pesawat Mooney M20J itu terbang dari Westchester, New York dan sepatutnya mendarat di Montgomery Airpark, berhampiran dengan lokasi nahas. - REUTERS

Berita Harian X