Ahad, 27 November 2022 | 1:59pm
Anggota polis berkawal ketika penduduk setempat berkumpul di luar balai polis di mana suspek penembak di dua sekolah ditahan di Aracruz, Espirito Santo, di Brazil. - Foto AFP
Anggota polis berkawal ketika penduduk setempat berkumpul di luar balai polis di mana suspek penembak di dua sekolah ditahan di Aracruz, Espirito Santo, di Brazil. - Foto AFP

Angka kematian tragedi tembakan sekolah Brazil meningkat

BRAZIL: Angka kematian akibat tragedi tembakan di sekolah di Brazil meningkat kepada empat orang pada semalam, selepas seorang lagi guru maut dalam serangan oleh penembak berusia 16 tahun yang memakai simbol Nazi.

Pihak berkuasa di bandar Aracruz, di negeri Espirito Santo, berkata kira-kira 10 orang yang cedera, termasuk tiga guru dan seorang pelajar, berada dalam keadaan parah selepas serangan kelmarin.

"Malangnya, tragedi Aracruz masih belum berakhir, dengan kekesalan yang mendalam, kami mengesahkan kematian seorang lagi mangsa iaitu guru Flavia Amboss Mercon,"kata Gabenor negeri, Renato Casagrande, semalam di Twitter, yang turut mengisytiharkan tiga hari berkabung di Espirito Santo.

Penembak adalah bekas pelajar di sekolah awam yang menyasarkan sekumpulan guru, membunuh dua orang dan mencederakan sembilan yang lain.

Suspek kemudian ke sekolah swasta berhampiran dan membunuh seorang remaja perempuan serta mengakibatkan beberapa orang lagi cedera.

Polis Espirito Santo berkata, suspek sudah ditangkap dan akan menghadapi tuduhan membunuh dan cubaan membunuh yang serius.

Menurut media Brazil, saudara-mara tiga orang lagi yang terbunuh semalam menzahirkan kekecewaan.

"Anak perempuan saya sentiasa ringan tulang dan disayangi. Saya kehilangan anak perempuan saya akibat kebencian ," kata Thais Sagrillo, ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang terbunuh, yang dipetik Globonews.

Anggota pasukan keselamatan, membawa keluar mayat mangsa tembakan sekolah di Aracruz, Espirito Santo, di Brazil. - Foto AFP
Anggota pasukan keselamatan, membawa keluar mayat mangsa tembakan sekolah di Aracruz, Espirito Santo, di Brazil. - Foto AFP

Menurut institut penyelidikan Sou da Paz, serangan itu adalah penembakan sekolah ke-12 di Brazil sejak 2002, sekali gus mendorong seruan untuk pembaharuan dasar senjata api.

Pengkritik mengecam watikah presiden yang melonggarkan peraturan mengenai senjata api dan peluru di bawah bekas Presiden sayap kanan, Jair Bolsonaro, sebelum ini.

Presiden pilihan Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva, yang serius mengkritik kelonggaran undang-undang kawalan senjata itu, mengalahkan Bolsonaro dalam pilihan raya bulan lalu.

Pihak berkuasa berkata, penembak adalah anak seorang anggota polis dan menggunakan dua pistol dalam serangan itu, kedua-duanya didaftarkan melalui bapanya iaitu senjata api perkhidmatannya, dan satu lagi senjata didaftarkan secara persendirian.

Casagrande berkata, suspek juga merancang serangan itu dengan teliti.

Rakaman kamera keselamatan yang disiarkan di media Brazil menunjukkan penembak itu berlari masuk ke sekolah dengan berpakaian celoreng gaya tentera dan mengacukan pistol.

Penyiasat berkata, dia mempunyai tanda swastika pada pakaiannya dan mereka sedang meneliti sama ada dia mempunyai kaitan dengan mana-mana pertubuhan pelampau. - AFP

Berita Harian X