Sabtu, 26 November 2022 | 10:54am
Bettsy Chavez (kanan) mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Peru kelima berjabat tangan dengan Presiden Pedro Castillo. - Foto FACEBOOK
Bettsy Chavez (kanan) mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Peru kelima berjabat tangan dengan Presiden Pedro Castillo. - Foto FACEBOOK

Presiden Peru yang bermasalah menamakan PM kelima dalam tempoh 16 bulan

LIMA: Presiden Peru, Pedro Castillo melantik Menteri Kebudayaan sebagai Perdana Menteri baharu negara itu selepas pendahulunya meletak jawatan kerana perbalahan dengan Parlimen.

Bettsy Chavez, seorang peguam berusia 33 tahun yang juga pernah berkhidmat sebagai Menteri Buruh, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelima sejak Castillo memegang jawatan 16 bulan lalu.

Kedua-duanya difahamkan akan merombak Kabinet selepas bekas perdana menteri, Anibal Torres meletak jawatan Khamis lalu, di tengah-tengah perbalahan berterusan antara Castillo yang berhaluan kiri dan Parlimen yang dikawal konservatif.

Ketika ini, Castillo, yang berkuasa sejak Julai 2021, berdepan dua percubaan pemecatan di Parlimen dan sedang disiasat dalam enam kes rasuah, termasuk tuduhan terhadap keluarga dan kumpulan politiknya.

Awal bulan ini, beribu-ribu berarak di ibu negara untuk menuntut penyingkiran bekas guru sekolah luar bandar yang secara tidak dijangka mengambil alih kuasa daripada elit politik tradisional Peru.

Susulan itu, Castillo mengecam pertuduhan itu sebagai bermotifkan politik dan menikmati imuniti sehingga akhir penggalnya pada Julai 2026.

Sementara itu, Chavez, seorang Ahli Parlimen dengan blok kiri yang menyokong Castillo, mempunyai 30 hari untuk mendapat undi percaya daripada Parlimen bagi memegang jawatan itu. - AFP

Berita Harian X