Jumaat, 25 November 2022 | 11:58am
Gambar hiasan. - Foto NSTP
Gambar hiasan. - Foto NSTP

Penyelidik uji teknologi mRNA untuk 20 sub jenis selesema

WASHINGTON: Vaksin cubaan yang memberikan perlindungan meluas terhadap semua 20 subjenis virus influenza A dan B dalam ujian awalnya pada tikus dan cerpelai berpotensi membuka laluan kepada suntikan selesema secara menyeluruh.

Ia turut dijangka berupaya mencegah wabak masa depan, menurut kajian kumpulan penyelidik Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan semalam.

Vaksin dua dos itu berdasarkan mRNA, sama seperti yang digunakan bagi vaksin COVID-19 dibangunkan oleh Pfizer menerusi BioNTech dan Moderna.

Pembangunan vaksin berkenaan tidak bermakna virus selesema yang bermusim akan berakhir, namun sekurang-kurangnya ia menjawab teka teki mengenai pembangunan berhubung suntikan itu, beberapa bulan menjelang musim selesema setiap tahun.

"Idea di sini adalah untuk membangunkan vaksin yang akan memberikan orang ramai tahap asas ingatan imun terhadap pelbagai jenis selesema.

"Menerusi kaedah ini, penyakit dan kematian dapat dikurangkan apabila wabak selesema seterusnya berlaku," kata Ketua Kajian di Sekolah Perubatan Perelman, di Universiti Pennsylvania, Scott Hensley, dalam satu kenyataan.

Berbanding vaksin selesema biasa yang membabitkan satu atau dua versi hemagglutinin, vaksin cubaan itu mempunyai 20 jenis versi berbeza yang menyasarkan supaya sistem imun mengenali mana-mana virus selesema yang mungkin dihadapi pada masa depan.

Dalam ujian makmal, sistem imun haiwan yang divaksinasi mengesan protein hemagglutinin dan mempertahankannya daripada 18 strain berbeza bagi influenza A dan dua strain untuk influenza B.

Menurut laporan yang diterbitkan dalam jurnal sains itu, tahap antibodi daripada vaksin kekal tidak akan berubah sekurang-kurangnya selama empat bulan.

Kumpulan penyelidik itu turut berkata, vaksin berkenaan berupaya mengurangkan gejala penyakit selain risiko kematian, walaupun cerpelai yang diuji sudah terdedah kepada jenis selesema yang berbeza.

Vaksin selesema mRNA untuk Moderna dan Pfizer sedang berada pada tahap ujian akhir terhadap manusia manakala GSK serta rakan kongsinya, CureVac sedang menguji vaksin selesema mRNA dalam percubaan peringkat awal ke atas manusia.

Vaksin ini dicipta untuk memberi perlindungan hanya bagi empat jenis strain influenza yang dikenal pasti baru-baru ini tetapi secara teorinya, ia boleh berubah setiap tahun.

Hensley berkata, jika vaksin selesema sejagat itu berjaya dalam ujian ke atas manusia, ia tidak semestinya menghalang jangkitan, namun matlamatnya menyediakan perlindungan yang berupaya untuk tahan lebih lama terhadap jangkitan teruk dan kematian. - REUTERS

Berita Harian X