Khamis, 24 November 2022 | 10:40am

Hampir 40 juta kanak-kanak terlepas suntikan vaksin campak pada 2021

WASHINGTON: Hampir 40 juta kanak-kanak di seluruh dunia terlepas dos vaksin campak pada tahun lalu dengan jumlah itu adalah yang tertinggi pernah direkodkan.

Ia berdasarkan laporan terbaru yang mendapati tahap imunisasi gagal dipulihkan susulan gangguan disebabkan pandemik COVID-19.

Penyelidikan itu yang diterbitkan bersama oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS), mendedahkan kadar penurunan yang dicatatkan sebagai halangan besar dalam menghapuskan penyakit yang boleh membawa maut itu.

Setiausaha Agung WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus memberitahu pembangunan dan penggunaan vaksin COVID-19 menyebabkan program imunisasi rutin terjejas teruk dan mengundang risiko kepada jutaan orang.

"Mengembalikan program imunisasi adalah sangat kritikal. Di sebalik setiap statistik dalam laporan ini, kanak-kanak berisiko menghidap penyakit yang boleh dicegah," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut laporan itu, 25 juta kanak-kanak terlepas dos campak pertama mereka manakala 14.7 juta kanak-kanak lagi gagal mendapatkan dos kedua.

Demam campak boleh dicegah sepenuhnya melalui vaksinasi.

Namun, disebabkan penularannya berlaku sangat pantas, dianggarkan 95 peratus daripada populasi perlu diberi vaksin dengan dua atau lebih dos untuk mewujudkan imuniti berkelompok.

Pada 2021, hanya 81 peratus kanak-kanak di seluruh dunia menerima dos pertama mereka dan 71 peratus menerima dos kedua.

Ia adalah kadar liputan global terendah bagi dos pertama sejak 2008.

Lima negara dengan bilangan bayi tertinggi tidak menerima dos pertama mereka adalah Nigeria, India, Congo, Ethiopia dan Indonesia.

Tiada wilayah WHO yang mencapai dan mengekalkan penghapusan campak, dengan virus itu boleh merebak secara pantas merentas sempadan.

Sejak 2016, sepuluh negara yang telah menghapuskan campak sebelum ini berdepan penularan semula wabak berkenaan.

Untuk rekod, demam campak adalah penyakit virus yang berjangkit, ia adakalanya boleh membawa kepada komplikasi kesihatan yang serius, termasuk jangkitan paru-paru dan otak.

Selain itu, dilaporkan antara satu dan tiga daripada setiap 1,000 orang kanak-kanak mati akibat komplikasi pernafasan dan neurologi. - AFP

Berita Harian X