Rabu, 23 November 2022 | 9:47am
Kilang pembuatan vaksin COVID-19 Pfizer sudah mula mengeluarkan dos vaksin penggalak yang ditambah baik bagi menangani varian baharu, di kilangnya di Kalamazoo, Michigan di Amerika Syarikat. - Foto AP
Kilang pembuatan vaksin COVID-19 Pfizer sudah mula mengeluarkan dos vaksin penggalak yang ditambah baik bagi menangani varian baharu, di kilangnya di Kalamazoo, Michigan di Amerika Syarikat. - Foto AP

Dos penggalak COVID-19 ditambah baik lebih berkesan lawan varian baharu

WASHINGTON: Dos penggalak COVID-19 ditambah baik menawarkan perlindungan lebih tinggi terhadap subvarian coronavirus baharu bagi individu yang sebelum ini menerima sehingga empat dos vaksin terdahulu.

Ia berdasarkan data daripada kajian pertama untuk menilai sejauh mana suntikan dikemas kini itu berfungsi memberi perlindungan kepada dunia, kata pegawai Amerika Syarikat (AS) semalam.

Dapatan itu menyokong keputusan hasil kajian syarikat yang menunjukkan dos suntikan ditambah baik itu menghasilkan tindak balas antibodi lebih tinggi terhadap subvarian BA.4 dan BA.5 berbanding dos asal selepas tempoh sebulan.

Kajian membabitkan lebih 360,000 orang itu membandingkan dos penggalak keluaran Pfizer dan Moderna yang dikemas kini dengan menyasarkan kedua-dua virus asal dan subvarian coronavirus Omicron BA.4 dan BA.5 dengan vaksin COVID-19 yang terdahulu.

Data itu diterbitkan dalam Laporan Mingguan Morbiditi dan Kematian, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.

Suntikan baharu itu diperkenalkan di AS pada September lalu selepas ia diluluskan berdasarkan ujian ke atas manusia selain data mengenai dos penggalak BA.4 dan BA.5 daripada kajian dalam makmal dan terhadap haiwan.

Kajian terbaru menunjukkan vaksin berkenaan memberikan manfaat yang lebih besar kepada individu berumur 18 hingga 49 tahun berbanding lingkungan dewasa yang lebih berusia.

Kajian sama turut menunjukkan, apabila dos penggalak itu diberikan dalam tempoh lapan bulan atau lebih selepas suntikan COVID-19 sebelumnya, keberkesanannya meningkat.

Keberkesanan berbanding suntikan asal dalam mencegah jangkitan bergejala adalah 56 peratus dalam kalangan individu berumur 18 hingga 49 tahun, 48 peratus bagi mereka berusia 50 hingga 64 tahun, dan 43 peratus (penerima suntikan berumur 65 tahun ke atas).

Keberkesanan vaksin dilihat menurun sekitar 28 hingga 31 peratus apabila dos penggalak diberikan hanya dua hingga tiga bulan selepas vaksinasi sebelumnya.

Setakat ini, menurut data AS, kira-kira 35 juta dos penggalak yang dikemas kini sudah diagihkan di seluruh negara itu, mewakili kira-kira 10 peratus daripada jumlah penduduknya.

Tambah pengarang kajian, dapatan itu mungkin tidak boleh diguna pakai secara umum kepada varian lain pada masa depan, dengan mengambil kira faktor bahawa varian dominan terus berkembang.

Hanya dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini, subvarian BQ.1 dan BQ.1.1 menjadi versi dominan coronavirus di AS, mengatasi subvarian BA.5 Omicron, dengan dos penggalak yang dikemas kini itu disasarkan sebagai vaksinasi tambahan untuk mencegahnya. - REUTERS

Berita Harian X