Sabtu, 19 November 2022 | 8:47am
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

China nafi buka 'balai polis' di AS, negara asing

WASHINGTON: China menolak dakwaan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) bahawa ia mengendalikan 'balai polis' di Amerika Syarikat (AS), dengan menyatakan ia hanya pusat yang dikendalikan oleh sukarelawan.

Ia susulan dakwaan oleh Christopher Wray yang menyuarakan kebimbangan mengenai kewujudan stesen yang beroperasi secara tidak sah dan mengaitkannya dengan pengaruh daripada Beijing.

Safeguard Defenders, sebuah pertubuhan hak asasi manusia berpangkalan di Eropah, menerbitkan laporan pada September lalu mendedahkan kehadiran puluhan 'stesen perkhidmatan' polis China di bandar utama seluruh dunia, termasuk New York.

Wray memaklumkan kepada Senat Khamis lalu bahawa amat 'keterlaluan' kerana kerajaan China cuba mewujudkan kehadiran polis di AS, dengan menegaskan ia 'melanggar kedaulatan dan cuba mengatasi proses kerjasama penguatkuasaan undang-undang dan kehakiman standard'.

Kedutaan China di Washington mengakui kewujudan pusat yang dikendalikan oleh sukarelawan di AS, tetapi menolak dakwaan bahawa ia 'balai polis' atau 'pusat perkhidmatan polis'.

Jurucakap kedutaan, Liu Pengyu, melalui e-mel kepada Reuters semalam, berkata, mereka (sukarelawan) bukan anggota polis dari China dan AS harus menghentikan gembar-gembur tidak berasas mengenai isu itu.

"Mereka membantu warga China di luar negara yang memerlukan bantuan untuk mengakses perkhidmatan dalam talian bagi memperbaharui lesen memandu dan menerima pemeriksaan fizikal," katanya.

Kedutaan bagaimanapun tidak menjawab permintaan Reuters untuk mendapatkan senarai pusat berkenaan. FBI pula enggan mengulas di luar kenyataan Wray.

Awal bulan ini, Kementerian Luar China menyatakan perkara sama mengenai tapak pusat seumpamanya di Belanda selepas kerajaan Belanda mengarahkan penutupan ketika siasatan terhadap kegiatan di pusat terbabit.

Ahli Parlimen Britain juga menggesa siasatan dilakukan ke atas tapak sama di negara itu.

Sementara itu, Republikan di Kongres AS termasuk Wakil Jim Banks, menuntut penjelasan daripada pentadbiran Biden mengenai operasi tapak terbabit.

Aktivis hak asasi manusia menyifatkan tapak operasi itu adalah lanjutan daripada usaha Beijing untuk menekan sebahagian warga China atau saudara mereka di luar negara untuk kembali ke China bagi menghadapi tuduhan jenayah.

Antara lain, ia mengaitkan mereka dengan kegiatan Jabatan Kerja Barisan Bersatu China, iaitu sebuah badan Parti Komunis China yang didakwa menyebarkan pengaruh dan propaganda di luar negara. - REUTERS

Berita Harian X