PANAMA CITY: Sidang kemuncak global hidupan liar di Panama semalam mengambil langkah penting dengan meningkatkan perlindungan terhadap ikan yu yang diburu untuk mendapatkan siripnya.
Sirip ikan yu mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penduduk Asia terutama golongan berbangsa Cina, kerana ia digunakan dalam pembuatan sup dan bagi menunjukkan simbol status kerana harganya yang mahal.
Sebuah jawatankuasa mengundi bagi meluluskan cadangan untuk memasukkan ikan yu atau jerung Requiem dan Hammerhead pada Lampiran II Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam (CITES).
Lampiran itu menyenaraikan spesis yang belum terancam kepupusan, namun berdepan kemungkinan itu, kecuali perdagangannya dikawal rapi.
Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar (WCS), yang menyokong kemasukan jerung ke dalam lampiran itu, berkata jerung Requiem menyumbang sekurang-kurangnya 70 peratus perdagangan sirip.
Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar, Luke Warwick, berkata dunia kini berada di tengah-tengah krisis kepupusan jerung yang sangat besar.
Katanya, jerung adalah penting kepada ekosistem lautan, namun menjadi 'kumpulan vertebrata kedua paling terancam di planet ini'.
Sirip ikan yu yang mewakili pasaran kira-kira AS$500 juta (RM2.3 bilion) setahun boleh dijual pada harga kira-kira AS$1,000 (RM4,554) sekilogram di Asia Timur untuk digunakan dalam makanan istimewa, sup sirip ikan yu.
Keluarga jerung Requiem termasuk spesies seperti jerung harimau, jerung sutera dan jerung terumbu kelabu.
Sebelum perhimpunan CITES di Panama City, ikan pari air tawar dan pari gitar, antara spesies yang dimasukkan dalam Lampiran II.
Persidangan itu juga sedang mempertimbangkan 52 cadangan untuk meminda tahap perlindungan bagi spesies lain termasuk buaya, biawak, ular, penyu air tawar dan beberapa tumbuhan dan pokok.
Keputusan muktamad akan diambil pada mesyuarat penutup persidangan CITES (COP-19) pada 25 November ini.
CITES yang berkuat kuasa sejak 1975, mengawal perdagangan kira-kira 36,000 spesies tumbuhan dan haiwan dan menyediakan mekanisme untuk membantu membanteras perdagangan haram hidupan liar.
Ia mengenakan sekatan kepada negara yang melanggar peraturan dan mempunyai ahli dari 183 negara dan Kesatuan Eropah (EU). - AFP