WASHINGTON: Seorang pegawai perisikan China dijatuhi hukuman penjara 20 tahun oleh mahkamah Amerika Syarikat (AS) semalam kerana mencuri teknologi daripada firma aeroangkasa AS dan Perancis.
Xu Yanjun dituduh sebagai peneraju dalam skim lima tahun yang disokong kerajaan China untuk mencuri rahsia komersial daripada GE Aviation, pengeluar enjin pesawat terkemuka dunia dan Kumpulan Safran Perancis, yang bekerjasama dengan GE dalam pembangunan enjin.
Terdahulu, Xu iaitu seorang daripada 11 warga China, termasuk dua pegawai perisikan, didakwa pada Oktober 2018 di Mahkamah Persekutuan di Cincinnati, Ohio di mana GE Aviation berpusat.
Pegawai perisikan Kementerian Keselamatan Negara China itu ditangkap pada April 2018 di Belgium dalam operasi kontra-perisikan di mana dia merancang secara rahsia bertemu dengan pekerja GE.
Kemudian Xu diekstradisi ke AS di mana dia dibicarakan dan disabitkan pada 5 November 2021 atas percubaan pengintipan ekonomi, percubaan mencuri rahsia perdagangan dan dua pertuduhan konspirasi yang berkaitan.
"Xu menyasarkan syarikat penerbangan AS, merekrut pekerja untuk melancong ke China, dan meminta maklumat peribadi mereka, semuanya bagi pihak kerajaan Republik Rakyat China," kata Jabatan Kehakiman dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pendakwa Raya Persekutuan Ohio, Kenneth Parker, berkata kes ini menghantar mesej yang jelas bahawa sesiapa yang cuba mencuri rahsia perdagangan AS akan bertanggungjawab. - AFP