MOSCOW, IDAHO: Polis melancarkan siasatan selepas empat pelajar Universiti Idaho ditemui mati dalam sebuah rumah berhampiran kampus, kelmarin.
Terdahulu, polis menerima laporan menjelang waktu tengah hari mengenai individu dipercayai tidak sedarkan diri di dalam kediaman terbabit.
Jabatan Polis Moscow dalam satu kenyataan memaklumkan setiba di lokasi, pasukan menemui empat mayat terbabit.
Susulan itu, pihak universiti segera meminta pelajar dan kakitangannya berlindung di tempat selamat serta menjauhi lokasi kejadian.
Pihak universiti yang mempunyai 6,800 pelajar itu menarik balik amaran berkenaan selepas kira-kira tiga jam, dengan memaklumkan tiada lagi ancaman dikesan.
Jabatan polis di barat laut bandar Idaho yang mempunyai kira-kira 25,000 penduduk itu bagaimanapun tidak mendedahkan identiti mangsa.
Polis memaklumkan, siasatan dijalankan sebagai kes bunuh, namun tidak memperincikan butiran insiden itu.
Kejadian itu berlaku beberapa jam sebelum insiden tembakan di Universiti Virginia, Charlottesville, yang mengakibatkan tiga maut dan dua lagi cedera. - REUTERS