Ahad, 13 November 2022 | 12:38pm
Demokrat akan kekal mengawal Senat AS tahun depan selepas Senator AS, Catherine Cortez Masto memenangi pemilihan semula di Nevada. - Foto AP
Demokrat akan kekal mengawal Senat AS tahun depan selepas Senator AS, Catherine Cortez Masto memenangi pemilihan semula di Nevada. - Foto AP

Demokrat kuasai Senat AS dengan kemenangan di Nevada

PHOENIX: Demokrat akan kekal mengawal Senat Amerika Syarikat (AS) tahun depan selepas Senator Demokrat AS, Catherine Cortez Masto memenangi pemilihan semula di Nevada, Edison Research mengunjurkan semalam, menyerahkan kemenangan besar kepada Presiden Joe Biden.

Namun, Republikan kekal hampir untuk memenangi kawalan Dewan Perwakilan AS ketika pegawai meneruskan pengiraan undi dalam pilihan raya pertengahan penggal AS Selasa lalu.

Cortez Masto menewaskan pencabar Republikan, Adam Laxalt, bekas peguam negara yang disokong oleh bekas Presiden, Donald Trump.

Menerusi kemenangan Masto selepas Senator Demokrat, Mark Kelly memenangi pemilihan semula di Arizona lewat Jumaat lalu, Demokrat akan mengawal sekurang-kurangnya 50 kerusi Senat, dengan Naib Presiden, Kamala Harris boleh menjadi penentu dalam Dewan seramai 100 ahli.

Dewan Negara terbahagi 50-50 antara Demokrat dan Republikan. Ahli Senat yang baru dipilih akan mengangkat sumpah pada 3 Januari.

Jika Senator Demokrat, Raphael Warnock memenangi pilihan raya di Georgia pada 6 Disember menentang pencabar Republikan, Herschel Walker, itu akan mengembangkan majoriti Demokrat kepada 51-49.

Itu seterusnya akan memberi Demokrat kelebihan tambahan dalam meluluskan bilangan terhad rang undang-undang kontroversi yang dibenarkan untuk diluluskan dengan majoriti undi mudah, berbanding 60 yang diperlukan untuk kebanyakan undang-undang.

Keputusan bagi Senator Demokrat, Joe Manchin di Virginia Barat dan Kyrsten Sinema di Arizona adalah undi yang boleh menyekat atau menangguhkan beberapa inisiatif utama Biden, termasuk pengembangan beberapa program sosial.

Namun, dengan 51 kerusi Demokrat dalam Kongres akan datang, pengaruh Manchin dan Sinema akan sedikit dicairkan. - REUTERS

Berita Harian X