WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan mengekalkan status pandemik COVID-19 sebagai kecemasan kesihatan awam bagi membolehkan jutaan rakyatnya melakukan ujian saringan, suntikan vaksinasi dan rawatan secara percuma sekurang-kurangnya sehingga April tahun depan, kata dua pegawai pentadbiran Presiden Joe Biden semalam.
Kata salah seorang pegawainya, kemungkinan lonjakan kes COVID-19 pada musim sejuk dan keperluan untuk memperuntukkan lebih banyak masa bagi peralihan daripada kecemasan kesihatan awam kepada pasaran swasta adalah dua faktor yang menyumbang kepada keputusan itu.
Kecemasan kesihatan awam (PHE) pada mulanya diisytiharkan pada Januari 2020, ketika tercetusnya wabak COVID-19 dan sejak itu, ia telah diperbaharui setiap suku tahun.
Bagaimanapun, kerajaan pada Ogos lalu mula memberi isyarat mengenai perancangan untuk menamatkannya pada Januari depan.
Jabatan Kesihatan dan Khidmat Kemanusiaan AS (HSS) telah berjanji untuk memberi notis 60 hari kepada semua negeri sebelum mengumumkan penamatannya yang akan berlaku pada Jumaat depan, jika tiada rancangan untuk memperbaharuinya semula pada Januari.
Menurut seorang lagi pegawai, agensi itu tidak mengeluarkan notis sedemikian.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang pegawai berkata, kumpulan pakar kesihatan percaya lonjakan semula jangkitan COVID-19 di AS berkemungkinan berlaku pada musim sejuk ini.
"Ini bukan tempoh yang sesuai untuk menamatkan kecemasan kesihatan awam," katanya.
Menurut data terbaharu Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, kes harian COVID-19 di negara itu turun dengan purata hampir 41,300 pada 9 November.
Namun, secara purata sekitar 335 orang dilaporkan meninggal dunia akibat wabak berkenaan. - REUTERS