WASHINGTON: Masa yang tinggal semakin suntuk bagi menentukan kawalan pengaruh Kongres dan agenda masa depan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden berikutan rakyat negara itu mula mengundi semalam pada pilihan raya pertengahan penggal yang keputusannya dijangka diketahui malam ini, selain polarisasi mendadak menambah ketegangan yang ada.
Kemenangan Republikan mungkin boleh membuka jalan kepada tawaran semula ke Rumah Putih oleh bekas presiden, Donald Trump yang kembali menyiarkan dakwaan penipuan tidak berasas selepas giat berkempen, yang sebahagian besarnya berkisar isu ekonomi.
Biden, calon Demokrat menghadapi kesukaran untuk bertahan di Dewan Perwakilan Rakyat dan Senat, bagaimanapun memberi amaran Republikan menimbulkan ancaman besar terhadap demokrasi berikutan lebih separuh calonnya mengulangi dakwaan tanpa bukti oleh Trump mengenai penipuan dalam pilihan raya 2020.
Dengan saingan sengit pencabar utama, sukar untuk Biden kekal, namun pengakhir kempennya, beliau berikrar Demokrat akan mempertahankan perkara berkaitan persaraan, penjagaan kesihatan dan kebebasan untuk melakukan pengguguran, selepas Mahkamah Persekutuan yang diubah oleh Trump membatalkan hak untuk memilih.
"Semua ada dalam undian. Pilihan raya ini terlalu penting untuk diketepikan," tulis Biden, 79, dalam ciapan twitter, ditakrifkan usaha terakhirnya mendorong pengundi untuk keluar mengundi.
Bagaimanapun, presiden Demokrat itu secara tradisinya sudah kehilangan kerusi dalam pilihan raya pertengahan penggal dan 'penarafan' Biden berada dalam lingkungan rendah iaitu 40, dengan parti Republikan memainkan isu inflasi yang tinggi serta jenayah.
Undian pertama ditutup pada jam 6:00 petang waktu tempatan di Indiana dan Kentucky, di mana senator Republikan dijangka menuju pemilihan semula.
Justeru, semua perhatian tertumpu kepada segelintir persaingan sengit Senat termasuk di Georgia, Pennsylvania, Nevada, Arizona, Wisconsin dan Ohio, dengan kelebihan satu kerusi cukup untuk mengawal Senat - kini dibahagikan sama rata dan dikawal oleh Demokrat hanya menerusi undi pemisah oleh Naib Presiden Kamala Harris.
Ketika membuang undi di Florida, Trump sekali lagi mengusik mengenai pengumuman yang dijangkakan minggu depan mengenai pemilihan presiden 2024, memberitahu wartawan 15 November 'akan menjadi hari yang sangat menarik untuk semua orang'. - AFP