WASHINGTON: Parti Republikan dan Demokrat saling bertikam lidah menjelang pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat (AS) yang mungkin menyaksikan kejatuhan Joe Biden, sokongan Barat terhadap Ukraine semakin lemah dan membuka pintu untuk Donald Trump kembali.
Lebih 40 juta mengundi melalui pilihan pengundian awal, bermakna keputusan sudah terbentuk beberapa jam sebelum pengundian dibuka di seluruh negara hari ini.
Rakyat Amerika mengundi hari ini untuk memilih 435 ahli Dewan Rakyat, satu pertiga daripada Dewan Negara dan beberapa jawatan negeri dan tempatan.
Kebanyakan daripada 50 negeri AS membenarkan pengundi membuang undi awal, sama ada secara bersemuka atau melalui surat, satu amalan yang digunapakai semasa pilihan raya presiden 2020, yang diadakan pada kemuncak pandemik COVID-19
Elon Musk menggunakan laman media sosial Twitter yang baru dibelinya untuk menyokong pengambilalihan Kongres oleh Republikan.
"Saya syorkan mengundi untuk Kongres Republikan, memandangkan Presiden adalah Demokrat," katanya.
Menambah ketegangan dan mengingatkan peranan Moscow sepanjang politik AS ketika era Trump, oligarki Kremlin, Yevgeny Prigozhin, berkata Russia sedang cuba mengalihkan keputusan.
Biden, dalam hujah penutupnya menjelang pengakhiran kempen bagi calon Demokrat pada perhimpunan berhampiran Baltimore memberi amaran bahawa demokrasi Amerika sedang terancam.
Sementara itu, Trump berulang kali mengusik berhubung kemungkinan bertanding untuk Rumah Putih 2024, walaupun berdepan siasatan jenayah kerana mengambil dokumen rahsia dan cuba membatalkan pilihan raya 2020, ketika mengadakan perhimpunan di Ohio.
Berdasarkan tinjauan pendapat menunjukkan Republikan mampu merampas kembali Dewan Rakyat.
Sementara itu, Kevin McCarthy, yang berkemungkinan menjadi speaker Dewan berada barisan kedua selepas presiden, juga enggan menolak prosiding pemecatan.
"Kami tidak akan sekali-kali menggunakan pemecatan untuk tujuan politik.
"Itu tidak bermakna jika sesuatu perkara itu berlaku, ia tidak akan digunakan pada bila-bila masa," katanya. - AFP