Sabtu, 5 November 2022 | 12:33pm
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

Subvarian Omicron sumbang 35 peratus kes COVID-19 AS

LOS ANGELES: Subvarian Omicron baharu BQ.1 dan BQ.1.1 menyumbang lebih 35 peratus kes COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) minggu ini, menurut anggaran terkini Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) negara itu.

BQ.1.1 itu sendiri menyumbang hampir 19 peratus daripada penularan varian dan BQ.1 dianggarkan membentuk 16.5 peratus daripada jumlah kes minggu ini, menurut laporan yang dikeluarkan oleh CDC, semalam.

Kedua-dua varian baharu itu merebak dengan pesat sejak bulan lalu.

Misalnya awal bulan lalu, setiap satu varian terbabit menyumbang kira-kira satu peratus daripada jangkitan baharu di AS tetapi keduanya meningkat dua kali ganda dalam kelaziman setiap minggu.

Data CDC menunjukkan kedua-dua varian itu menyumbang kira-kira satu daripada empat jangkitan COVID-19 baharu di seluruh negara minggu lalu.

Kedua-dua varian itu adalah jujukan subvarian BA.5 Omicron dan merebak pantas di Eropah.

Sementara itu, Kanada membenarkan penggunaan versi adaptasi vaksin COVID-19 Moderna Spikevax yang menyasarkan subvarian Omicron BA.4/BA.5.

Ini menandakan bahagian kesihatan negara itu, Health Canada, meluluskan vaksin bivalen untuk digunakan sebagai dos penggalak pada individu berumur 18 tahun ke atas.

Katanya, keputusan ujian klinikal menunjukkan ia mencetuskan tindak balas imun yang kuat terhadap kedua-dua Omicron (BA.4/BA.5) dan jujukan asal SARS-CoV-2.

"Vaksin yang disesuaikan itu mempunyai profil keselamatan yang serupa dengan penggalak Moderna Spikevax yang diluluskan sebelum ini, dengan tindak balas buruk yang ringan, memberikan penyelesaian sama dengan cepat.

"Kita akan memastikan vaksinasi COVID-19 kekal dikemas kini, termasuk mendapatkan dos penggalak seperti yang disyorkan, supaya membantu melindungi individu daripada penyakit serius dan komplikasi lain jangkitan COVID-19," katanya.

Jumlah jangkitan dan kematian COVID-19 di Kanada masing-masing mencecah 4,336,860 kes dan 46,389 mangsa kehilangan nyawa, menurut kemas kini mingguan yang dikeluarkan oleh Agensi Kesihatan Awam Kanada (PHAC) minggu lalu.

berdasarkan laporan agensi itu, bilangan kumulatif individu yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 di Kanada ialah 83 peratus setakat 9 Oktober lalu.

Bagaimanapun, mereka yang sudah melengkapkan siri utama atau menerima penggalak dos dengan vaksin COVID-19 di Kanada dalam tempoh enam bulan terakhir ini, hanya 17.2 peratus setakat 9 Oktober lalu.

Dalam perkembangan lain, Kanada turut mengesahkan 1,444 kes cacar monyet termasuk 42 mangsa terpaksa dimasukkan ke hospital, menurut PHAC semalam.

Bagaimanapun, peningkatan kes cacar monyet di Kanada kekal rendah dengan hanya sembilan kes baharu dalam tempoh seminggu lalu.

Dos kedua vaksin cacar monyet kini sedang diedarkan ke seluruh negara susulan saranan Jawatankuasa Penasihat Kebangsaan mengenai Imunisasi supaya vaksin cacar monyet digunakan sebagai pencegah.

Mereka yang berisiko dijangkiti pula disyorkan mengambil dua dos tetapi dos kedua hanya diambil selepas 28 hari oleh mereka yang tidak menunjukkan sebarang gejala. - AGENSI

Berita Harian X