Khamis, 3 November 2022 | 8:31am
Gambar hiasan menunjukkan sampel yang menyebabkan penyakit taun, antara yang didakwa Russia dibangunkan sebagai senjata biologi oleh Amerika Syarikat (AS) menggunakan makmal di Ukraine. - Foto EPA
Gambar hiasan menunjukkan sampel yang menyebabkan penyakit taun, antara yang didakwa Russia dibangunkan sebagai senjata biologi oleh Amerika Syarikat (AS) menggunakan makmal di Ukraine. - Foto EPA

UNSC tolak gesaan Russia siasat penggunaan senjata biologi

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau UNSC, semalam menolak usul Russia bagi mewujudkan satu suruhanjaya untuk menyiasat pembangunan 'senjata biologi' oleh Amerika Syarikat (AS) di Ukraine.

Russia mendakwa tindakan membangunkan senjata 'biologi ketenteraan' itu melanggar konvensyen PBB yang melarang penggunaan senjata biologi.

Russia hanya mendapat sokongan China ketika undian berhubung resolusi itu, manakala AS, Britain dan Perancis mengundi 'tidak', dan 10 negara lain memilih berkecuali, sekali gus menolak resolusi itu kerana gagal mendapatkan minimum sembilan sokongan.

Hasil undian itu menggambarkan pendirian UNSC yang berterusan menentang dan tidak mempercayai tindakan Russia sejak menceroboh Ukraine pada 24 Februari lalu.

Sepanjang tempoh itu, UNSC dilihat lumpuh dan tidak mampu mengambil sebarang tindakan terhadap pencerobohan Russia kerana negara itu memiliki kuasa veto.

Russia mengedarkan draf resolusi itu bersama dokumen setebal 310 halaman kepada anggota majlis minggu lalu, mendakwa kegiatan aktiviti biologi ketenteraan sedang dijalankan di makmal biologi di Ukraine dengan sokongan Jabatan Pertahanan AS.

Susulan undian itu, Timbalan Duta Russia, Dmitry Polyansky, menyifatkan kerajaan Russia amat kecewa dengan UNSC yang tidak bertindak balas secara positif terhadap permintaannya untuk menubuhkan suruhanjaya.

Resolusi yang diusulkan Russia antara lain menggesa 15 negara anggota UNSC menyiasat aduan Russia, selaras peruntukan Perkara 6 konvensyen senjata biologi, dan membentangkan laporan serta cadangan kepada majlis sebelum 30 November.

Mesyuarat membabitkan 197 negara anggota konvensyen senjata nuklear itu pada September lalu, memutuskan Russia gagal menyediakan bukti kukuh untuk menyokong dakwaannya, dan sejumlah besar negara anggota menyifatkan isu itu tidak berasas.

Ukraine memiliki jaringan makmal biologi yang mendapat dana dan sokongan penyelidikan daripada AS.

Ia dimiliki dan dikendalikan Ukraine, serta menjadi sebahagian daripada Program Pengurangan Ancaman Biologi yang bertujuan mengurangkan kemungkinan penularan wabak membimbangkan, sama ada disebabkan faktor semula jadi atau buatan manusia.

Duta Russia ke PBB, Vassily Nebenzia, menuduh AS bersekongkol dengan Ukraine untuk membangunkan patogen berbahaya termasuk taun, anthrax dan influenza, yang tidak boleh berselindung di sebalik alasan atas kepentingan perubatan.

Katanya, dokumen dan bukti ditemui Russia menunjukkan pembangunannya lebih menjurus kepada kegunaan ketenteraan.

Malah, kata Nebenzia kepada UNSC, tentera Russia di Ukraine menemui dron yang berupaya menyembur bahan biologi selain dokumen mendedahkan penyelidikan kemungkinan menyebarkan patogen berbahaya menerus kelawar dan burung penghijrah. - AP

Berita Harian X