Selasa, 1 November 2022 | 11:21am
Gambar fail menunjukkan kakitangan perubatan berpakaian perlindungan diri (PPE) menjalankan ujian COVID-19. - Foto REUTERS
Gambar fail menunjukkan kakitangan perubatan berpakaian perlindungan diri (PPE) menjalankan ujian COVID-19. - Foto REUTERS

Varian baharu meningkatkan jangkitan COVID-19 di AS

LOS ANGELES: Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) hari ini mengeluarkan data membabitkan kes jangkitan COVID-19 susulan penularan pantas beberapa varian baharu di negara itu.

Dua varian baharu iaitu BQ.1 dan BQ.1.1 menular dengan pantas dan setiap daripadanya menyumbang kira-kira satu peratus daripada jangkitan baharu di AS, namun meningkat dua kali ganda berbanding kelaziman, setiap minggu.

Berdasarkan data terkini CDC, hampir 14 peratus jangkitan baharu di AS pada minggu berakhir pada 29 Oktober lalu berpunca daripada varian BQ.1, manakala BQ.1.1 pula menyebabkan 13.1 peratus jangkitan baharu.

Data CDC menunjukkan, BQ.1 dan BQ.1.1 menyumbang lebih satu daripada empat jangkitan COVID-19 baharu di seluruh negara itu.

Varian BA.5 yang mendominasi penularan COVID-19 di AS sejak Julai lalu, kini menyumbang 49.6 peratus daripada jangkitan baharu di Negara itu.

Sebahagian besar subkelompok baharu, iaitu cabang BA.2, BA.4 dan BA.5 kini muncul sebagai punca majoriti jangkitan baharu di AS.

Dr Andrew Pekosz berkata, varian itu sedikit berbeza antara satu sama lain, namun semuanya membawa beberapa mutasi utama sama yang mengurangkan imuniti daripada vaksin dan jangkitan lampau, menjadikannya lebih cenderung kepada jangkitan baharu serta jangkitan semula.

Bercakap kepada Health baru-baru ini, pakar virologi dari Johns Hopkins Bloomberg School of Public Health itu berkata, BQ sebenarnya adalah varian BA.5.

"Saya rasa semua varian yang ada, iaitu BQ.1.1, di AS adalah terbesar atau paling banyak diperkatakan sekarang, semuanya berasal daripada varian BA.5 atau BA.4 .

"Mereka bermutasi beberapa kali, menyebabkannya mampu mengelak beberapa jangkitan atau imuniti berpunca daripada vaksin," katanya.

Satu lagi varian, XBB, juga adalah subvarian Omicron yang digelar sebagai 'varian mimpi ngeri' di Singapura, bersifat sangat kebal dan menunjukkan ia mungkin kalis terhadap vaksin semasa.

Kumpulan penasihat evolusi virus SARS-CoV-2 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) minggu lalu, berkata XBB dan BQ.1 ketika ini tidak mencapai perbezaan secukupnya antara satu sama lain atau daripada kelompok Omicron lain.

Justeru, tahap mutasinya tidak menjadikannya lebih kalis imuniti sehingga perlu dilabel sebagai varian baharu yang membimbangkan.

"Kedua-dua subkelompok terbabit kekal sebagai sebahagian daripada Omicron, yang terus menjadi varian membimbangkan," katanya.

Pakar perubatan bimbang kemunculan subvarian baharu Omicron akan menyebabkan tahap imuniti umum, terutama mereka yang lemah sistem imun, tidak lagi mendapat perlindungan yang memadai.

Justeru, pakar menasihatkan lebih ramai orang mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 bagi mengelak jangkitan yang kronik. - AGENSI

Berita Harian X