Isnin, 24 Oktober 2022 | 4:05pm
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

Kadar kitar semula plastik berkurangan, usaha wujudkan ekonomi kitaran hanya fiksyen

WASHINGTON: Greenpeace USA hari ini melaporkan, kadar kitar semula plastik semakin berkurangan meskipun pengeluaran meningkat sekali gus dakwaan industri sudah mewujudkan ekonomi kitaran yang cekap dianggap sebagai 'fiksyen'.

Dalam laporan bertajuk 'Circular Claims Fall Flat Again', kajian mendapati, daripada 51 juta tan sisa plastik yang dijana oleh isi rumah Amerika Syarikat (AS) pada 2021, hanya 2.4 juta tan dikitar semula atau sekitar lima peratus.

Selepas trend itu memuncak pada 2014 dengan kadar 10 peratus, ia bagaimanapun menurun, terutamanya sejak China berhenti menerima sisa plastik daripada negara Barat pada 2018.

Pengeluaran plastik bukan kitar semula, meningkat dengan pesat apabila industri petrokimia berkembang dan mengurangkan kos.

"Kumpulan industri dan syarikat besar juga mendesak untuk kitar semula sebagai penyelesaian

"Dengan berbuat demikian, mereka sudah mengabaikan semua tanggungjawab (untuk memastikan kitar semula benar-benar berfungsi)," kata Juru Kempen Greenpeace USA, Lisa Ramsden kepada AFP.

Ramsden juga menamakan Coca-Cola, PepsiCo, Unilever dan Nestle sebagai pesalah utama.

Menurut tinjauan Greenpeace USA, hanya dua jenis plastik diterima secara meluas di 375 kemudahan kitar semula negara iaitu polyethylene terephthalate (PET), yang biasanya digunakan dalam botol air dan soda; kedua, polietilena berketumpatan tinggi (HDPE), yang biasa digunakan dalam bekas susu, botol syampu dan bekas produk pembersih.

Mengikut sistem piawai, ia bernombor '1' dan '2' dalam tujuh jenis plastik.

Bagaimanapun, walaupun ia boleh dikitar semula secara teori tidak bermakna amalan kitar semula dilakukan.

Laporan itu juga mendapati bahawa produk PET dan HDPE mempunyai kadar pemprosesan semula iaitu masing-masing 20.9 peratus dan 10.3 peratus, turun sedikit daripada tinjauan terakhir Greenpeace USA pada 2020.

Jenis plastik '3' hingga '7' pula termasuk mainan kanak-kanak, beg plastik, pembalut hasil, yogurt dan tab marjerin, cawan kopi dan bekas makanan segera didapati dikitar pada kadar kurang daripada lima peratus.

Walaupun sering membawa simbol kitar semula pada label mereka, produk yang menggunakan jenis plastik '3' hingga '7' dikesan gagal memenuhi klasifikasi boleh dikitar semula oleh Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan.

Ini disebabkan kemudahan kitar semula untuk jenis ini tidak tersedia kepada 'majoriti besar' penduduk, iaitu sehingga 60 peratus.

Menurut laporan itu juga, terdapat lima sebab utama mengapa kitar semula plastik adalah 'konsep yang gagal' iaitu sisa plastik dijana dalam kuantiti yang banyak dan amat sukar untuk dikumpulkan

Kedua, walaupun semuanya dikumpul, sisa plastik bercampur tidak boleh dikitar semula bersama-sama, ketiga, proses kitar semula itu sendiri memudaratkan alam sekitar dan mendedahkan pekerja kepada bahan kimia toksik dan dengan sendirinya menghasilkan mikroplastik.

Keempat, plastik kitar semula membawa risiko ketoksikan melalui pencemaran dengan jenis plastik lain dalam tong pengumpulan, menghalangnya daripada menjadi bahan gred makanan semula serta kelima, proses kitar semula sangat mahal. - AFP

Berita Harian X