Rabu, 28 September 2022 | 5:00pm
PBB memberi amaran bahawa perkhidmatan kesihatan boleh terencat selepas berminggu-minggu protes dan keganasan berlaku di Haiti. - Foto AGENSI
PBB memberi amaran bahawa perkhidmatan kesihatan boleh terencat selepas berminggu-minggu protes dan keganasan berlaku di Haiti. - Foto AGENSI

Keganasan berterusan di Haiti ancam perkhidmatan kesihatan - PBB

NEW YORK: Jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stéphane Dujarric, semalam memberi amaran bahawa perkhidmatan kesihatan boleh terencat selepas berminggu-minggu protes dan keganasan berlaku di Haiti.

Beliau berkata, sesetengah hospital tidak lagi menerima pesakit baharu dan sedang bersiap sedia untuk ditutup, sambil menambah bahawa kebanyakan hospital mengalami masalah kekurangan oksigen, lapor Xinhua.

Oleh itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan sekutunya, Pan American Health Organisation sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan serta rakan kongsi untuk membaik pulih perkhidmatan kecemasan di sebuah hospital awam, katanya.

Agensi PBB bersama-sama Dana Populasi PBB (UNFPA) turut menyediakan bekalan perubatan bagi dua hospital awam di Port-au-Prince, Haiti, kata jurucakap itu.

Katanya, Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) dan UNFPA bekerjasama dengan pihak hospital, pihak berkuasa kesihatan dan rakan kongsi untuk memasang bekalan tenaga solar.

Bagaimanapun, kuasa solar tidak mencukupi untuk memastikan hospital berfungsi sepenuhnya.

UNICEF menganggarkan 22,000 kanak-kanak di bawah usia lima tahun dan lebih 28,000 bayi baru lahir, berisiko tidak menerima penjagaan kesihatan penting untuk tempoh empat minggu akan datang.

Beliau berkata, krisis akses semasa juga menimbulkan kebimbangan terhadap 36 tapak pelarian di Haiti.

Tapak berkenaan menempatkan lebih 24,000 penduduk tempatan yang hilang tempat tinggal akibat gempa bumi tahun lalu serta keganasan yang dicetuskan kumpulan-kumpulan tertentu baru-baru ini di Port-au-Prince.

"Rakan sekerja kami di lapangan bimbang mengenai laporan keganasan seksual yang meluas, rogol dan keganasan membabitkan jantina," kata jurucakap itu.

Tindak balas kemanusiaan Haiti masih kekurangan dana walaupun sumbangan dilaporkan semakin meningkat, katanya.

"Sehingga Selasa, kami hanya menerima satu pertiga daripada pembiayaan yang diperlukan untuk bantuan kemanusiaan negara bernilai US$373 juta bagi 2022." - BERNAMA

Berita Harian X