Ahad, 25 September 2022 | 8:45am
CEO Pfizer, Albert Bourla. - Foto REUTERS
CEO Pfizer, Albert Bourla. - Foto REUTERS

CEO Pfizer dijangkiti COVID-19 kali kedua

AMERIKA SYARIKAT: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pfizer, Albert Bourla, memaklumkan dia disahkan dijangkiti COVID-19 untuk kali yang kedua.

"Saya berasa sihat dan bebas simptom," kata Bourla dalam satu kenyataan.

Bourla, 60, pada Ogos lalu dijangkiti virus itu dan mendapatkan rawatan antiviral COVID-19 syarikat terbabit, Paxlovid.

Paxlovid adalah ubat antivirus yang digunakan untuk merawat pesakit berisiko tinggi seperti pesakit yang lebih tua.

Bourla menerima empat dos vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh Pfizer dan kongsi Jermannya, BioNTech.

Katanya, beliau masih belum lagi mengambil dos penggalak bivalen baharu.

Dibangunkan oleh Moderna dan pasukan Pfizer dan BioNTech, dos bivalen baharu itu bertujuan untuk menangani subvarian BA.5 dan BA.4 yang masing-masing membentuk 84.8 peratus dan 1.8 peratus daripada semua varian yang menular di Amerika Syarikat berdasarkan data terkini.

"Saya belum mendapat penggalak bivalen baharu kerana saya mengikuti garisan panduan CDC untuk menunggu tiga bulan sejak dijangkiti COVID-19 untuk kali kedua," katanya.

Ogos lalu, FDA membenarkan penggunaan dos penggalak terbaru Pfizer dan Moderna yang menyasarkan subvarian BA.4 dan BA.5 Omicron yang dominan.

Sebuah agensi kesihatan persekutuan berkata, minggu ini lebih 25 juta dos bivalen sudah dihantar, kebanyakannya terdiri daripada Pfizer-BioNTech kerana pengeluaran vaksin Moderna semakin meningkat. - REUTERS

Berita Harian X