Sabtu, 20 Ogos 2022 | 11:38am
Anggota kumpulan militan Daesh, El Shafee Elsheikh yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah di Amerika Syarikat (AS). - Foto AP
Anggota kumpulan militan Daesh, El Shafee Elsheikh yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah di Amerika Syarikat (AS). - Foto AP

Anggota Daesh 'Beatle' dipenjara seumur hidup

ALEXANDRIA: Anggota kumpulan militan Daesh, El Shafee Elsheikh, atau nama panggilannya 'Beatle' dijatuhi hukuman penjara seumur hidup semalam oleh mahkamah di Amerika Syarikat (AS) atas kesalahan mendalangi pembunuhan tebusan negara itu.

El Shafee bagaimanapun menafikan keganasan yang dilakukannya iaitu dakwaan memenggal kepala tebusan dan merakamkannya selepas gagal mendapatkan wang tebusan.

Pendakwaan itu membabitkan pembunuhan empat tebusan AS iaitu James Foley, Steven Sotloff, Peter Kassig dan Kayla Mueller.

Melalui rakaman video, tiga daripada mereka dibunuh dengan dipenggal kepala manakala seorang lagi, Mueller, dipaksa menjadi hamba seks dan dirogol beberapa kali oleh pemimpin Daesh, Abu Bakr al-Baghdadi, sebelum dibunuh.

Menurut pendakwa raya Mahkamah Daerah AS di Alexandria, El Shafee adalah ahli kumpulan Daesh paling tinggi pangkatnya dan terkenal yang pernah disabitkan di mahkamah negara itu.

El Shafee dan rakannya dari Britain, Alexanda Kotey dan Mohammed Emwazi mengetuai rancangan tawanan tebusan Daesh, yang menculik lebih 20 warga Barat sedekad lalu.

Kotey sebelum ini sudah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup manakala Mohammed pula terbunuh dalam serangan dron.

Tebusan menggelarkan 'tiga sekawan' itu Beatles kerana loghat British mereka.

Penampilan mereka, sentiasa bertopeng, menimbulkan ketakutan dalam kalangan tebusan kerana kekejaman yang mereka tunjukkan.

Menurut Penolong Pendakwa Raya, Raj Parekh, pendakwaan itu mengakhiri tindakan Beatles yang bersifat kejam.

Pihak juri sepakat menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup selepas El Shafee disabitkan dengan kesalahan menahan tebusan sehingga menyebabkan kematian dan jenayah lain.

AS bersetuju untuk tidak menjatuhkan hukuman mati sebagai sebahagian daripada perjanjian ekstradisi El Shafee dan Kotey sebelum ini.

Daesh sehingga kini menawan 26 tebusan sejak 2012 selepas kumpulan itu menguasai sebahagian besar Iraq dan Syria.

El Shafee dan Beatles yang lain memainkan peranan penting dalam rundingan tebusan, memaksa tebusan untuk menghantar e-mel kepada keluarga mereka dengan tuntutan wang.

Mereka juga kerap memukul dan menyeksa tebusan, memaksa mereka untuk melawan satu sama lain dan memaksa mereka melihat imej tebusan yang terbunuh.

Mangsa El Shafee dan Beatles turut memberi keterangan pada sesi perbicaraan semalam dengan menyuarakan apa yang mereka alami.

Jurugambar Denmark, Daniel Rye Ottosen, yang dibebaskan selepas membayar wang tebusan berkata, saat paling teruk adalah apabila dia dikurung secara bersendirian.

Sementara itu, di luar mahkamah, ibu bapa Mueller masih berusaha untuk mendapatkan mayat anak mereka. - AP

Berita Harian X