Isnin, 25 Julai 2022 | 7:15am
Mangsa terselamat dari bot yang terbalik di luar pulau Bahamas New Providence. - Foto AGENSI
Mangsa terselamat dari bot yang terbalik di luar pulau Bahamas New Providence. - Foto AGENSI

17 disyaki pendatang Haiti mati di luar pantai Bahamas

PORT-AU-PRINCE: Tujuh belas disyaki pendatang Haiti maut dalam kemalangan bot di luar pantai Bahamas awal semalam, kata satu kenyataan kerajaan.

'Pasukan penyelamat menemui 17 mayat daalam air' - 15 wanita, seorang lelaki dan seorang bayi - menurut kenyataan oleh Perdana Menteri Philip Davis menerusi ciapan.

Seramai 25 orang lagi telah diselamatkan dan ditempatkan dalam jagaan pegawai kesihatan, kata kenyataan itu.

Sekurang-kurangnya seorang masih hilang, dengan misi pencarian sedang dijalankan.

Siasatan awal menunjukkan bahawa sebuah bot laju meninggalkan New Providence, pulau paling ramai penduduk di kepulauan Bahamas, sekitar jam 1.00 pagi waktu tempatan semalam dengan kira-kira 60 orang di dalamnya.

Pegawai percaya bot itu menuju ke Miami, Florida. Bot itu dipercayai terbalik dalam air bergelora, 11 kilometer dari pantai pulau itu.

Siasatan pelbagai agensi membabitkan Pasukan Polis Diraja Bahamas dan Pasukan Pertahanan Diraja Bahamas sedang dijalankan 'untuk menentukan segala kemungkinan meliputi operasi penyeludupan manusia yang disyaki mengakibatkan' kematian migran, kata kenyataan itu.

Penyeludup manusia diketahui menggunakan Bahamas - sekumpulan pulau berhampiran pantai Florida - sebagai titik lompat untuk membawa orang masuk ke Amerika Syarikat (AS), dalam perjalanan yang boleh menjadi berbahaya.

Pada bulan Mac, Pengawal Pantai AS memintas 123 orang di atas kapal kecil di Anguilla Cay, di barat Bahamas, dan hanya beberapa hari sebelum itu, ia menahan lebih 140 orang di luar pantai Andros, pulau terbesar di Bahamas.

Haiti, negara termiskin di benua Amerika, sedang menghadapi krisis politik, ekonomi dan keselamatan yang teruk. - AFP

Berita Harian X