Ahad, 3 Julai 2022 | 6:29pm
Gambar hiasan. - Foto REUTERS
Gambar hiasan. - Foto REUTERS

New York larang bawa senjata api di khalayak ramai

NEW YORK: Gabenor New York, Kathy Hochul, semalam menandatangani rang undang-undang (RUU) menyekat seseorang membawa senjata api.

Tindakan itu menyusuli keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, membatalkan pelesenan membawa senjata yang sekian lama dikuatkuasakan pada peringkat negeri.

Seorang individu akan menghadapi hukuman jenayah jika mereka membawa senjata di lokasi sensitif seperti lapangan terbang dan pusat transit awam lain, institusi pendidikan serta Times Square.

Undang-undang melarang membawa senjata api itu dipanjangkan kepada premis harta persendirian termasuk bar, restoran, kedai atau kedai runcit, melainkan dianggap dibenarkan oleh pemiliknya.

Mahkamah Agung AS baru-baru ini membatalkan undang-undang negeri New York yang wujud berabad-abad lama, mewajibkan pemilik senjata mempunyai sebab untuk membawa senjata ke kawasan tertentu.

Bagaimanapun, ahli majlis New York yang dipilih meluluskan RUU berkaitan senjata api itu pada sesi pengundian luar biasa kelmarin, bersandarkan kepada ikrar melindungi keselamatan awam dan badan perundangan tempatan.

Tindakan itu juga bertujuan meredakan ketegangan susulan keputusan Mahkamah Agung dalam kes Persatuan Raifal & Pistol Negeri New York menentang Bruen, yang dibantah majoriti penduduk New York.

RUU itu berkuat kuasa pada 1 September ini dan lembaga rayuan akan ditubuhkan untuk pemohon yang lesen atau pembaharuan lesennya ditolak atau dibatalkan.

Bagaimanapun, badan perundangan baharu itu mungkin menghadapi cabaran undang-undang daripada penyokong hak senjata api, kerana beberapa ahli Parlimen Republikan berhujah ia melanggar hak perlembagaan untuk membawa senjata. - AGENSI

Berita Harian X