PORT-AU-PRINCE: Anggota kumpulan Haiti semalam menculik 38 penumpang yang menaiki bas mini ketika dalam perjalanan menuju ke selatan negara itu, kata Presiden Persatuan Pemandu kepada AFP.
"Dua bas mini membawa kesemua penumpang itu menuju ke Miragoane, iaitu bandar yang terletak kira-kira 100 kilometer (km) barat Port-au-Prince, dirampas lelaki dari Village de Dieu," kata Presiden Pemilik dan Pemandu Bas Haiti, Mehu Changeux.
Kawasan itu adalah merujuk kepada salah satu kawasan setinggan ibu kota yang dikawal ketat oleh sebuah kumpulan yang kuat.
"Setiap bas mini itu membawa 18 penumpang di samping seorang pemandu," katanya yang tidak memberikan butiran sama ada wang tebusan sudah diminta atau sebaliknya.
Penculikan beramai-ramai itu berlaku ketika Haiti berada dalam cengkaman kumpulan bersenjata, yang gagal dibolosi polis.
Sejak 1 Jun 2021, pihak berkuasa Haiti kehilangan kawalan ke atas satu-satunya jalan yang menghubungkan Port-au-Prince ke bahagian selatan negara itu yang hanya berjarak kira-kira 2km di bawah kawalan kumpulan bersenjata.
Laluan itu juga merangkumi pintu keluar barat ibu kota Haiti di mana 38 penumpang bas mini itu diculik.
Changeux menegaskan, pihaknya sentiasa meminta pemandunya supaya tidak melalui jalan terbabit sehingga keselamatan negara pulih.
Bagaimanapun, dengan keadaan penduduk miskin bandar itu tidak berkemampuan, selain satu-satunya jalan alternatif tidak sesuai dilalui kenderaan bermotor, kos lebih tinggi diperlukan terutama dengan adanya tol tidak rasmi.
"Ada beberapa bas mengambil risiko berikutan sesetengah penumpang tidak berkemampuan dari segi ekonomi untuk membayar pengangkutan melalui jalan gunung," katanya.
Hujung minggu lalu, tiga wanita muda Turki dibebaskan selepas sebulan berada dalam tahanan.
Mereka diculik oleh kumpulan penjenayah yang mengawal seluruh wilayah timur Port-au-Prince, sehingga ke sempadan dengan Republik Dominika.
Kumpulan itu merampas bas yang dinaiki tiga wanita dari Santo Domingo dan sehingga kini masih menahan lima lagi warga Turki.
Bulan lalu sahaja, sekurang-kurangnya 200 penculikan direkodkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan kebanyakannya di Port-au-Prince. - AFP