Selasa, 7 Jun 2022 | 4:53pm

AS, Eropah gesa Russia henti keganasan seksual di Ukraine

NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) dan Eropah menggesa Russia menghentikan keganasan seksual didakwa dilakukan tentera serta proksi Moscow di Ukraine.

Dakwaan yang dibuat ketika perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu bagaimanapun disangkal Russia yang menyatakan ia adalah 'pembohongan'.

Gesaan berkenaan disuarakan pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) anjuran Albania yang memegang jawatan Presiden secara bergilir.

Duta AS, Linda Thomas-Greenfield, berkata Russia harus menghentikan perbuatan rogol, keganasan dan kekejaman didakwa dilakukan oleh tentera negara itu.

"Russia perlu menghentikan peperangan yang tidak wajar dan tanpa provokasi ini ke atas rakyat Ukraine. Kami menggesa Persekutuan Russia untuk melakukan itu saja," katanya.

Presiden Majlis Eropah, Charles Michel, mengecam 'kekejaman' Russia dan menegaskan jenayah didakwa itu perlu dihentikan dan pelakunya dihukum.

"Untuk mempertanggungjawabkan mereka yang melakukannya, kami memerlukan bukti dan sedang membantu mengumpulkan bukti berhubung jenayah terbabit," katanya.

Beliau juga menuding jari kepada Moscow sebagai 'bertanggungjawab sepenuhnya' atas krisis makanan yang tercetus akibat pencerobohan Russia di Ukraine.

Dakwaan itu menyebabkan Duta Russia ke PBB, Vassily Nebenzia, bangun meninggalkan dewan dan digantikan oleh timbalannya.

Terdahulu, Nebenzia menafikan dakwaan penderaan seksual oleh tentera Russia di Ukraine.

"Dakwaan keganasan seksual oleh tentera Russia sudah diulang-ulang, namun tiada bukti yang dikemukakan," katanya.

Perwakilan Khas PBB bagi Keganasan Seksual dalam Konflik, Pramila Patten, menggesa soal jenayah keganasan seksual dimasukkan dalam mana-mana perjanjian damai.

"Ini termasuk memastikan pengampunan bagi jenayah keganasan seksual, jelas dilarang sama sekali," katanya. - AFP

Berita Harian X