Sabtu, 28 Mei 2022 | 1:17pm
Gambar hiasan. - Foto AGENSI
Gambar hiasan. - Foto AGENSI

AS tambah sekatan terhadap Russia, Korea Utara

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menambah sekatan ke atas dua bank Russia, sebuah syarikat Korea Utara dan seorang individu kerana dituduh menyokong program senjata pemusnah besar-besaran.

Sekatan itu meningkatkan tekanan terhadap Pyongyang berhubung pembaharuan pelancaran peluru berpandu balistik awal minggu ini.

Tindakan terbaru AS itu dibuat sehari selepas China dan Russia menggunakan kuasa veto terhadap desakan diketuai AS untuk mengenakan lebih banyak sekatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Korea Utara.

Tindakan itu buat pertama kali memecah belahkan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) berhubung ujian peluru berpandu balistik, sejak ia mula menghukum Pyongyang atas perbuatan sama pada 2006.

Kuasa veto itu digunakan walaupun AS menyatakan ia adalah ujian keenam peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) oleh Korea Utara dan isyarat bahawa Pyongyang melakukan persiapan untuk menjalankan ujian nuklearnya yang pertama sejak 2017.

Jabatan Perbendaharaan AS, dalam satu kenyataan, berkata ia menyasarkan Air Koryo Trading Corp dan institusi kewangan Russia, Far Eastern Bank dan Bank Sputnik kerana menyumbang kepada perolehan dan penjanaan pendapatan dari pertubuhan Korea Utara.

Washington juga menyasarkan Jong Yong-nam, wakil sebuah pertubuhan berpangkalan di Belarus di bawah Akademi Sains Semula Jadi Korea Utara (SANS), yang menurut Washington, menyokong pertubuhan Korea Utara dikaitkan dengan pembangunan peluru berpandu balistik.

China menggesa AS untuk mengambil tindakan, termasuk menarik balik beberapa sekatan sebelah pihak, bagi menarik minat Pyongyang untuk menyambung semula rundingan yang terhenti sejak 2019.

Sebelum ini, tiga sidang kemuncak antara pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dan Presiden AS terdahulu, Donald Trump, gagal mencapai sebarang kemajuan.

Setiausaha Keganasan dan Risikan Kewangan AS, Brian Nelson, dalam satu kenyataan, berkata AS akan terus mengenakan sekatan baharu bagi menggesa Korea Utara kembali memilih laluan diplomatik.

"AS juga mahu Korea Utara melupakan ujian senjata pemusnah besar-besaran dan peluru berpandu balistik," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, diplomat tertinggi Korea Selatan, Jepun dan AS mengeluarkan kenyataan bersama mengatakan Korea Utara 'meningkatkan kadar dan skala pelancaran peluru berpandu balistik dengan ketara sejak September 2021'.

Dalam kenyataan itu, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, Menteri Luar Korea Selatan, Park-jin dan Menteri Luar Jepun, Yoshimasa Hayashi, menggesa Pyongyang 'kembali kepada rundingan'. - REUTERS

Berita Harian X