Jumaat, 27 Mei 2022 | 10:14am

China, Russia guna kuasa veto dalam Majlis Keselamatan PBB

NEW YORK: China dan Russia semalam menggunakan kuasa veto ke atas usul diketuai Amerika Syarikat (AS) yang mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menambah sekatan terhadap Korea Utara.

Ia sekali gus menyaksikan perpecahan dalam Majlis Keselamatan PBB, secara terbuka untuk kali pertama sejak badan antarabangsa itu menghukum Pyongyang mulai 2006.

Gesaan untuk PBB mengenakan lebih banyak sekatan itu dibuat selepas Korea Utara melancarkan lagi peluru berpandu balistik, baru-baru ini.

Kesemua baki 13 negara anggota lain dalam Majlis berkenaan mengundi untuk menyokong resolusi dirangka AS itu yang mengusulkan sekatan terhadap eksport tembakau dan minyak ke Korea Utara di mana pemimpinnya, Kim Jong Un dilaporkan sebagai seorang perokok tegar.

Berdasarkan usul itu, ia akan turut menyenarai hitam kumpulan penggodam, Lazarus yang AS dakwa mempunyai kaitan dengan Korea Utara.

Pengundian itu dilakukan sehari selepas Korea Utara dilapor melancarkan lagi tiga peluru berpandu, termasuk satu yang dikatakan peluru berpandu balisitik antara benua (ICBM) terbesar, susulan lawatan Presiden AS, Joe Biden ke Asia.

Ia merupakan rentetan terbaru pelancaran peluru berpandu balistik, tahun ini, yang diharamkan oleh Majlis Keselamatan PBB.

Duta AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield, menyifatkan pengundian itu sebagai 'hari mengecewakan' bagi Majlis berkenaan.

Berdasarkan penilaian Washington, beliau berkata, Korea Utara didakwa telah melakukan enam pelancaran ICBM, tahun ini, dan 'sedang aktif membuat persediaan untuk melaksanakan ujian nuklear.'

Sejak 16 tahun lalu, Majlis Keselamatan PBB secara berterusan dan sebulat suara, meningkatkan sekatan untuk menghentikan pembiayaan terhadap program senjata nuklear serta peluru berpandu balistik yang dijalankan oleh Pyongyang.

Ia memperketat sekatan terhadap Pyongyang pada 2017, namun China dan Russia kemudian mendesak supaya sekatan dilonggarkan atas dasar kemanusiaan.

Berhubung usul terbaru diterajui AS pula, Duta Russia ke PBB, Vassily Nebenzia, menyifatkan sekatan baharu, sekiranya dilaksanakan ke atas Korea Utara, bakal membawa ke arah jalan buntu.

"Kami sudah menekankan bahawa tindakan mengukuhkan lagi sekatan ke atas Pyongyang adalah tidak berkesan dan tidak berperikemanusiaan," katanya kepada Majlis.

Duta China ke PBB, Zhang Jun pula berkata penambahan sekatan terhadap Korea Utara tidak akan membantu, sebaliknya hanya bakal membawa lebih banyak kesan negatif dan meningkatkan konfrontasi.

Perhimpunan Agung PBB akan membincangkan isu Korea Utara dalam tempoh dua minggu akan datang, bawah peraturan baharu yang menetapkan badan mempunyai 193 negara anggota itu perlu bermesyuarat apabila kuasa veto digunakan dalam Majlis Keselamatan oleh salah satu daripada lima anggota tetapnya, iaitu Russia, China, AS, Perancis dan Britain. - REUTERS

Berita Harian X