Selasa, 24 Mei 2022 | 10:55am
Sekolah di Kostiantynivka, wilayah Donetsk, Ukraine yang musnah akibat dibedil tentera Russia. - Foto REUTERS
Sekolah di Kostiantynivka, wilayah Donetsk, Ukraine yang musnah akibat dibedil tentera Russia. - Foto REUTERS

20 negara tawar pakej senjata kepada Ukraine - AS

WASHINGTON: Lebih 20 negara menawarkan pakej bantuan keselamatan baharu kepada Ukraine bagi memerangi pencerobohan tentera Russia, dalam mesyuarat sekutu pada Isnin.

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin, membuat pengumuman itu dalam perjumpaan kedua yang dihadiri lebih 40 negara dan organisasi yang membentuk Kumpulan Perhubungan Pertahanan Ukraine.

Perjumpaan itu dibuat secara dalam talian bagi berbincang untuk membantu Ukraine dan 20 negara menjanjikan senjata, peluru dan bekalan lain untuk menyokong Kyiv.

Kumpulan itu diberi taklimat oleh Menteri Pertahanan Ukraine, Oleksiy Reznikov, berhubung situasi semasa dalam peperangan selama tiga bulan, di mana kedua-dua pihak bertempur di barisan hadapan di wilayah yang dirampas Russia di selatan dan timur Ukraine.

"Hari ini, bersama Menteri Reznikov dan pasukannya, kami mendapat dan berkongsi dengan lebih jelas keperluan utama Ukraine dan situasi di medan perang.

"Banyak negara yang menghulurkan keperluan kritikal peluru artileri, sistem pertahanan pantai, kereta kebal dan kenderaan berperisai lain," katanya.

Beliau berkata pihak lain turut menawarkan latihan untuk ketenteraan Ukraine.

Katanya, Denmark komited untuk menghantar Harpoon iaitu sistem peluru berpandu antikapal dan Czech Republik menawarkan helikopter serangan, kereta kebal dan sistem roket.

Austin bagaimanapun tidak memperincikan apa yang dimasukkan ke dalam pakej bantuan AS$40 bilion (RM175 bilion) kepada Ukraine, walaupun terdapat spekulasi ia termasuk roket jarak jauh berketepatan tinggi yang boleh digunakan untuk membedil wilayah Russia.

Sejak perjumpaan pertama kumpulan itu di pangkalan AS di Jerman, empat minggu lalu, momentum sumbangan dan penghantaran adalah luar biasa.

Katanya, keperluan Ukraine tidak banyak berubah sejak mesyuarat terdahulu dan peperangan terus dipacu oleh artileri, sokongan kereta kebal, dron dan peralatan lain.

"Peperangan ini dibentuk oleh artileri pada peringkat ini dan kami melihat pertukaran serius tembakan artileri dalam tempoh beberapa minggu.

"Semua pihak memahami apa yang menjadi pertaruhan pada peperangan ini dan ia menjangkau melebihi Eropah," katanya.

Beliau berkata pencerobohan Russia adalah penghinaan kepada peraturan berdasarkan aturan antarabangsa.

Tambahnya, Kumpulan Perhubungan Pertahanan Ukraine akan berjumpa secara bersemuka pada 15 Jun ini ketika mesyuarat kementerian Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Brussels. - AFP

Berita Harian X