Sabtu, 23 April 2022 | 6:11am
 Pengembara menunggu penerbangan pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami, Florida. - Foto AFP
Pengembara menunggu penerbangan pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami, Florida. - Foto AFP

COVID-19 penyebab ketiga kematian di AS pada 2021

WASHINGTON: COVID-19 dikesan menjadi penyebab ketiga kematian di Amerika Syarikat (AS) bagi tahun kedua berturut-turut pada 2021 selepas penyakit jantung dan kanser dengan kadar kematian meningkat dalam kebanyakan kumpulan umur.

Menurut satu kajian dikendalikan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, COVID-19 adalah punca asas atau penyumbang kepada 460,513 kematian di negara itu tahun lalu, peningkatan hampir 20 peratus berbanding 2020.

Kumpulan penyelidik menganalisis data sijil kematian bagi kematian yang berlaku dalam kalangan penduduk di AS pada Januari hingga Disember tahun lalu.

Mereka mendapati 2021 menyaksikan kadar kematian keseluruhan tertinggi sejak 2003, dengan penyakit jantung dan kanser masing-masing menjadi penyebab pertama dan kedua kematian.

Kajian itu mendapati kadar kematian keseluruhan adalah paling rendah dalam kalangan kanak-kanak berumur lima hingga 14 tahun, dan tertinggi dalam kalangan orang berumur 85 tahun ke atas, trend yang serupa dengan 2020.

Kematian memuncak pada Januari dan September.

Data CDC menunjukkan COVID-19 dikaitkan dengan 111.4 setiap 100,000 kematian di AS pada 2021, berbanding 93.2 setiap 100,000 kematian pada 2020.

Kadar kematian COVID adalah yang paling rendah dalam kalangan mereka yang berumur satu hingga empat tahun dan lima hingga 14 tahun.

Walaupun kadar kematian COVID-19 adalah yang tertinggi bagi mereka yang berumur 85 tahun ke atas pada 2021, kadar itu menurun berbanding 2020.

Data juga menunjukkan terdapat 94,884 kematian berkaitan COVID-19 tahun lalu dalam kalangan mereka yang berumur 85 tahun ke atas berbanding 122,707 pada 2020, data menunjukkan.

Penyelidik mendapati kumpulan umur di bawah 75 tahun menyaksikan peningkatan ketara dalam kematian.

Laporan itu juga mendapati keseluruhan kadar kematian AS yang diselaraskan umur meningkat hampir satu peratus dari 2020 hingga 2021. - REUTERS

Berita Harian X