Isnin, 18 April 2022 | 3:08pm

COVID-19: Kes positif global melepasi 504 juta kes

WASHINGTON: Kes COVID-19 di seluruh dunia melepasi angka 504 juta dengan pertambahan lebih 500,000 kes baharu direkodkan di seluruh dunia dalam tempoh 24 jam lalu.

Menurut data terbaru Pusat Sains dan Kejuruteraan Sistem (CSSE) Johns Hopkins University, kes kematian meningkat kepada lebih 6.19 juta orang, sementara kadar vaksinasi kini melepasi 11.16 bilion di seluruh dunia.

Statistik sama turut menunjukkan Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling teruk terjejas pandemik COVID-19 dengan merekodkan 80,625,120 kes dengan 988,609 kematian.

Ia disusuli India dan Brazil yang masing-masing merekodkan 43 juta serta 30 juta kes positif wabak berkenaan.

Beberapa negara lain yang turut mencatatkan angka kes yang tinggi adalah Perancis dengan 27 juta kes, United Kingdom dan Jerman masing-masing melebihi 21 juta kes, manakala Russia sebanyak 17 juta kes.

Dalam pada itu, tiga negara iaitu Itali, Turki dan Sepanyol pula merekodkan angka kes positif COVID-19 melebihi 11 juta.

Di Asia Tenggara, Indonesia kekal merekodkan jumlah kes positif tertinggi dengan lebih 6 juta kes.

Ini diikuti Malaysia dan Thailand yang masing-masing melebihi 4 juta kes, Filipina (3.6 juta) dan Singapura (1.1 juta).

Sementara itu, negara yang mencatatkan angka kematian melepasi 100,000 kes termasuk Brazil dengan 662,185 kes, India pula sebanyak 662,185 kes dan Russia (365,774). - AGENSI

Berita Harian X