Sabtu, 2 April 2022 | 9:57am
Will Smith. - Foto AFP
Will Smith. - Foto AFP

Will Smith letak jawatan

HOUSTON: Bintang Hollywood, Will Smith semalam meletak jawatan daripada Akademi Seni dan Sains Motion Picture selepas beliau bertindak menampar muka Chris Rock di pentas Anugerah Oscar hujung minggu lalu, lapor agensi berita Anadolu.

"Saya sepenuhnya akan menerima sebarang dan semua akibat susulan kelakuan saya. Tindakan saya semasa penyampaian Anugerah Akademi Ke-94 adalah mengejutkan, menyakitkan dan tidak boleh dimaafkan," katanya dalam satu kenyataan.

Pengunduran Smith dibuat hampir seminggu selepas beliau tidak dapat menahan marah lalu bertindak menampar muka Rock yang juga pelakon dan pelawak popular kerana menjadikan isterinya, Jada Pinkett Smith sebagai bahan jenaka ketika menghoskan acara itu.

Selepas kejadian itu, Smith kemudiannya menjerit ke arah Rock, "Jauhkan nama isteri saya daripada mulut (kata-kata kasar) kamu".

Kata Smith, dalam senarai individu yang beliau sakiti adalah ramai termasuk Rock dan keluarganya, rakan-rakan, insan tersayang, hadirin serta penonton global di rumah.

"Saya mengkhianati kepercayaan akademi. Saya menafikan peluang calon dan pemenang lain untuk mereka meraikan dan diraikan atas kerja luar biasa mereka.

"Saya patah hati. Saya mahu memberi tumpuan semula kepada mereka yang patut diberi tumpuan atas pencapaian mereka dan membenarkan akademi kembali melakukan kerja luar biasa untuk menyokong kreativiti dan kesenian dalam perfileman," katanya.

Berikutan itu, gabenor lembaga akademi berkenaan mengadakan mesyuarat tergempar minggu ini bagi memulakan proses semakan formal yang membolehkan Smith berdepan potensi penggantungan atau pemecatan.

Walaupun meletakkan jawatan, akademi masih boleh memilih untuk mengambil semula anugerah Oscar yang diterima Smith bagi kategori pelakon terbaik dalam filem King Richard.

Bagaimanapun, itu tidak mungkin dan tidak pernah berlaku jika terpalit dengan isu kelakuan. - BERNAMA

Berita Harian X