Khamis, 17 March 2022 | 9:39am
Penduduk dilihat beratur di tapak pengujian saringan COVID-19 besar-besar di kawasan penempatan di Dalian di Wilayah Liaoning, China. - REUTERS
Penduduk dilihat beratur di tapak pengujian saringan COVID-19 besar-besar di kawasan penempatan di Dalian di Wilayah Liaoning, China. - REUTERS

WHO bimbang peningkatan kes COVID-19 global

GENEVA:  Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyuarakan kebimbangan mengenai kes COVID-19 direkodkan yang kembali meningkat secara global, walaupun kadar ujian dijalankan menurun dengan ketara.

Menurut WHO, selepas merekodkan penurunan selama berminggu-minggu, kes COVID-19 dilaporkan meningkat semula secara global sebanyak lapan peratus pada minggu lalu, dengan lebih 11 juta kes serta lebih 43,000 kematian baharu didaftarkan.

Sementara di rantau Pasifik Barat, kes baharu meningkat sebanyak 29 peratus, minggu lalu.

Bilangan kes di rantau ini meningkat sejak akhir Disember dengan kes di negara Pasifik Barat kini mengatasi Eropah sebagai kawasan panas global untuk kes baharu yang dikesan, dengan 5.02 juta berbanding 4.99 juta di Eropah.

Ketua Teknikal WHO mengenai COVID-19, Maria Van Kerkhove, melalui sidang medianya melahirkan kebimbangan berhubung keadaan itu walaupun terdapat pengurangan ketara dalam ujian yang dilakukan di seluruh dunia.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus turut bersetuju dengan memberi amaran bahawa kurangnya pengesanan kes akibat penurunan ujian, bermakna kes yang dilihat hanya ibarat puncak ais (yang dapat dilihat) sahaja.

"Kita tahu bahawa apabila kes meningkat, kematian juga meningkat. Kami menyeru semua negara untuk terus berwaspada," katanya sambil menekankan wabak itu belum berakhir dan menyifatkan angka kematian tinggi di banyak negara tidak boleh diterima, terutamanya di mana tahap vaksinasi rendah dalam kalangan populasi yang terdedah.

Sementara itu, Van Kerkhove berkata pihaknya percaya angka sebenar kematian akibat COVID-19 beberapa kali ganda lebih tinggi berbanding enam juta direkodkan secara rasmi dalam tempoh lebih dua tahun ini.

Katanya, peningkatan semula dalam kes dilaporkan disumbangkan oleh gabungan beberapa faktor dan beliau menekankan bahawa varian Omicron masih tersebar pada tahap sangat sengit di seluruh dunia.

"Salah satu sub varian itu, BA.2, sangat mudah tersebar dan kini paling kerap ditemui dalam sampel yang dikumpul dan disusun.

"Ini adalah varian paling mudah tersebar yang kami lihat daripada virus SARS-CoV-2 setakat ini," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata banyak negara kini menarik semula sekatan COVID-19 walaupun tidak keseluruhannya.

"Selain itu akses dan pengambilan vaksin bersifat tidak adil dan tidak sekata, menjadikannya lebih mudah untuk virus itu merebak," katanya.

Van Kerkhove berkata, pihaknya gusar mengenai sejumlah besar maklumat salah yang berada di luar sana bahawa Omicron adalah ringan, atau pandemik sudah berakhir serta ini (Omicron) adalah varian terakhir dan ia perlu kita tangani.

"(Semua maklumat salah) ini benar-benar menyebabkan banyak kekeliruan," katanya.

Ven Kerkhove bagaimanapun mengakui dunia kini tahu kaedah untuk mengawal COVID-19.

"Berita baiknya ialah kita mempunyai alat yang boleh mengurangkan penyebaran. Kita tahu bahawa alat pelitup muka berfungsi. 

"Kita tahu bahawa penjarakan fizikal berfungsi dan kita tahu bahawa vaksin menyelamatkan nyawa di mana ia perlu diteruskan," katanya.

Berita Harian X