Sabtu, 12 March 2022 | 11:57am
Gambar hiasan - FOTO AFP
Gambar hiasan - FOTO AFP

Dua rakyat Russia sokong program senjata Korea Utara disekat

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam mengenakan sekatan ke atas dua warga dan tiga entiti Russia dituduh menyokong program senjata Korea Utara.

Tindakan itu menyusul sehari selepas Pentagon menerbitkan penilaian perisikan yang mendakwa dua peluru berpandu dilancarkan Korea Utara, baru-baru ini, adalah ujian untuk sistem peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang baharu.

"Sekatan itu menyasarkan rangkaian individu dan entiti berpangkalan di Russia, yang terbabit dalam membantu (Korea Utara) memperoleh komponen untuk sistem peluru berpandu balistik yang melanggar undang-undang," kata Setiausaha Perbendaharaan bagi Perisikan Kewangan dan Keganasan, Brian Nelson, dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu lagi, kebanyakan aktiviti terbabit juga melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Korea Utara.

Korea Utara melancarkan sejumlah ujian peluru berpandu sejak awal tahun ini, dengan mendakwa dua yang terbaru adalah untuk pembangunan satelit.

Bagaimanapun, seorang pegawai AS dilapor menegaskan, ujian peluru berpandu yang dilancarkan pada 26 Februari dan 4 Mac lalu menunjukkan 'peningkatan serius'.

Mengulas lanjut, Nelson mendakwa, tindakan Korea Utara itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa, sekali gus membawa ancaman besar terhadap keselamatan global. - AFP

Berita Harian X