Rabu, 9 March 2022 | 12:14pm
Pusat pengasingan sementara bagi pesakit COVID-19 sudah siap di daerah Tsing Yi, Hong Kong, yang menyaksikan peningkatan ketara jangkitan coronavirus varian Omicron. - Foto AFP
Pusat pengasingan sementara bagi pesakit COVID-19 sudah siap di daerah Tsing Yi, Hong Kong, yang menyaksikan peningkatan ketara jangkitan coronavirus varian Omicron. - Foto AFP

Jangkitan COVID19 global bertambah 1.5 juta kes dalam 24 jam

WASHINGTON: Jangkitan COVID-19 global bertambah 1.5 juta kes selain mencatatkan 6,800 kematian dalam tempoh 24 jam lalu.

Data terkini Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat (AS) masih kekal negara paling teruk terjejas dengan 81,012,638 kes positif termasuk 987,578 kematian.

Ini diikuti India dan Brazil dengan masing-masing merekodkan 43 juta kes serta 29 juta kes jangkitan coronavirus manakala Perancis berada di tangga keempat sebagai negara yang melepasi angka 23 juta kes jangkitan.

Jangkitan di United Kingdom melebihi 19 juta, Russia dengan lebih 17 juta kes disusuli Jerman (lebih 16 juta), Turki (lebih 14.4 juta), Itali (lebih 13 juta) dan Sepanyol dengan lebih 11 juta.

Di Asia Tenggara, Indonesia kekal merekodkan jumlah kes positif tertinggi dengan lebih 5.8 juta, diikuti Vietnam (lebih 4.7 juta) dan Filipina dan Malaysia masing-masing dengan lebih 3.6 juta kes.

Thailand pula mencatatkan dengan 3 juta kes manakala Singapura melebihi 846,000 kes.

Sementara itu, jumlah keseluruhan kematian global akibat COVID-19 global kini melebihi enam juta kes, didahului AS yang merekodkan jumlah kematian tertinggi melebihi 961,000 kes.

Ini diikuti Brazil dengan lebih 652,000 kes; India lebih 515,000 kes dan Russia lebih 350,000 kes sementara Mexico setakat ini mencatat lebih 319,000 kematian.

United Kingdom, Itali, Perancis, Jerman dan Sepanyol pula merekodkan lebih 100,000 kes kematian.

Bagi Asia Tenggara, Indonesia mendominasi angka kematian dengan lebih 150,000 kes korban.

Filipina di tangga kedua korban tertinggi dengan lebih 57,000 kes diikuti Malaysia dengan 33,000 kes manakala Thailand mencatatkan lebih 23,000 angka korban. - AGENSI

Berita Harian X