WARSAW: Amerika Syarikat (AS) menegaskan wujud kerjasama erat antara negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dengan Poland yang tidak pernah dilihat sebelum ini.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken berkata, jumlah anggota tentera AS dikerahkan di Poland sejak 30 Januari lalu, kini meningkat lebih dua kali ganda kepada lebih 10,000, selaras ikrar Presiden AS, Joe Biden untuk 'mempertahankan setiap inci wilayah NATO'.
"Sebagai sekutu NATO, kerjasama pertahanan antara Poland dan AS berada pada tahap yang paling rapat.
"Kami juga sudah meningkatkan jumlah dan jenis kelengkapan ketenteraan dan keupayaan yang diletakkan di Poland," katanya seperti dilaporkan Agensi Anadolu (AA) ketika sidang media bersama rakan sejawatnya di Poland, Zbigniew Rau, semalam.
Menurut Blinken, pentadbiran Biden memohon bantuan kemanusiaan berjumlah AS$2.75 bilion (RM11.4 bilion) daripada Kongres untuk membantu rakyat Ukraine yang melarikan diri.
Katanya, Poland memainkan peranan utama dalam bertindak balas terhadap krisis kemanusiaan itu. – BERNAMA