Ahad, 20 Februari 2022 | 5:36pm
Aktivis anti perang menyertai tunjuk perasaan di Grand Central Station di Manhattan, Amerika Syarikat (AS), menggesa AS, NATO, Ukraine dan Russia menghentikan ketegangan yang menjurus kepada peperangan. - Foto AFP
Aktivis anti perang menyertai tunjuk perasaan di Grand Central Station di Manhattan, Amerika Syarikat (AS), menggesa AS, NATO, Ukraine dan Russia menghentikan ketegangan yang menjurus kepada peperangan. - Foto AFP

Biden yakin Putin sudah putuskan mahu serang Ukraine

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, berkata beliau yakin Presiden Russia, Vladimir Putin, sudah membuat keputusan menyerang Ukraine.

Walaupun masih ada ruang diplomasi, beliau jangkakan Russia akan melancarkan serangan dalam masa beberapa hari lagi.

"Kami mempunyai sebab yang kuat untuk mempercayai tentera Russia sedang merancang dan bercadang menyerang Ukraine dalam beberapa minggu akan datang.

"Malah, ia mungkin berlaku dalam tempoh beberapa hari," katanya sambil menambah AS percaya Russia akan menjadikan ibu kota Ukraine, Kyiv sebagai sasaran pertama.

Kenyataan Biden itu dibuat selepas panggilan telefon dengan pemimpin Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Poland, Romania, Britain, Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), kata Rumah Putih.

Pemimpin terbabit berjanji meneruskan diplomasi sambil bersiap sedia untuk mengenakan sekatan ekonomi yang pantas secara bersepadu ke atas Russia sekiranya negara itu memilih konflik, menurut Rumah Putih lagi.

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, pula mencabar Russia untuk mengumumkan 'tidak akan menyerang Ukraine' bagi meredakan ketegangan yang kian memuncak di sempadan negara itu.

Beliau turut memberi amaran Russia berada di ambang melancarkan serangan ketenteraan besar-besaran terhadap Ukraine.

Kenyataan itu bagi menolak dakwaan Moscow mengatakan ia sedang mengundurkan tentera di kawasan sempadan dan pada masa yang sama, berlaku tembakan meriam yang merosakkan sebuah tadika di Ukraine.

Jelasnya, hasil risikan menunjukkan Moscow boleh mengarahkan serangan ke atas negara jirannya dalam 'hari-hari mendatang'.

"Tunjukkan bukti dengan menghantar tentera, kereta kebal dan kapal terbang anda kembali ke pangkalan semula," katanya.

Sementara itu di Moscow, puak pemisah pro-Moscow di timur Ukraine mula memindahkan orang awam ke Russia pada Jumaat ketika kebimbangan tercetusnya konflik berskala besar terus meningkat.

Sebahagia besar negara Barat berkata Russia boleh menyerang Ukraine pada bila-bila masa, walaupun Moscow berkata ia sudah menarik balik beberapa pasukannya dari sempadan Ukraine. - AGENSI

Berita Harian X