Ahad, 20 Februari 2022 | 7:56am
Polis berjaga-jaga ketika penunjuk perasaan yang menyertai protes yang dianjurkan oleh pemandu trak yang menentang mandat vaksin terus berkumpul di jalanan selepas demonstrasi utama disuraikan. -Foto AFP
Polis berjaga-jaga ketika penunjuk perasaan yang menyertai protes yang dianjurkan oleh pemandu trak yang menentang mandat vaksin terus berkumpul di jalanan selepas demonstrasi utama disuraikan. -Foto AFP

Polis Kanada tahan puluhan penunjuk perasaan

OTTAWA: Polis Kanada menggunakan semburan lada, melempar bom tangan dan menahan puluhan penunjuk perasaan yang berhimpun di jalan berdepan dengan Parlimen bagi menyuarakan bantahan berhubung sekatan COVID-19.

Ketua Polis Interim Ottawa, Steve Bell, memberitahu pemberita, seramai 170 individu ditahan dalam masa dua hari.

Polis turut menyuraikan penunjuk perasaan yang berhimpun di depan Parlimen, pejabat Perdana Menteri dan Bank Kanada.

Kakitangan di bandar itu kini sedang giat melaksanakan kerja pembersihan dan menunda kenderaan yang masih berada di situ, kata Bell dalam sidang akhbar.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan penunjuk perasaan mungkin menukar lokasi demonstrasi berkenaan.

"Kami sedar penunjuk perasaan meninggalkan kawasan Parlimen dan berpindah ke kawasan kejiranan sekitar. Kami tidak akan berganjak selagi keamanan di sini tidak kembali pulih.

"Situasi ini berbahaya dan meletakkan anak kecil dalam risiko," katanya.

Polis menggunakan pembesar suara bagi menyuraikan penunjuk perasaan dan memberi amaran, mereka akan ditahan jika enggan beredar.

Pada hari kedua, polis turut menggesa penunjuk perasaan untuk membawa keluar kanak-kanak daripada kawasan berkenaan.

Penganjur protes yang dikenali dengan nama 'Konvoi Kebebasan' berkata, mereka meminta beberapa lori berundur dengan banyak kenderaan jenis itu keluar dari pusat bandar semalam.

Menurut polis, sebanyak 38 kenderaan ditunda dalam insiden berkenaan.

Polis turut berkata, mereka tidak menggunakan gas pemedih mata, dengan penunjuk perasaan turut membaling bom asap ketika demonstrasi berlangsung.

Tunjuk perasaan itu pada mulanya berlaku sebagai bantahan bagi memaksa kerajaan parti Liberal pimpinan Perdana Menteri, Justin Trudeau, untuk memansuhkan mandat vaksin terhadap pemandu lori rentas sempadan.

Bagaimanapun, ia bertukar menjadi tunjuk perasaan terhadap kerajaan dan Perdana Menteri.

Untuk rekod, demonstrasi berkenaan telah berlanjutan selama lebih tiga minggu dengan puluhan pemandu trak menyertainya dan menghalang laluan pusat dekat bandar itu. - REUTERS

Berita Harian X