Ahad, 13 Februari 2022 | 7:03pm
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken (tengah) berucap pada sidang media bersama Menteri Luar Korea Selatan, Chung Eui-yong (kiri) dan Menteri Luar Jepun, Hayashi Yoshimasa (kanan) berhubung isu ujian senjata Korea Utara. - Foto REUTERS
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken (tengah) berucap pada sidang media bersama Menteri Luar Korea Selatan, Chung Eui-yong (kiri) dan Menteri Luar Jepun, Hayashi Yoshimasa (kanan) berhubung isu ujian senjata Korea Utara. - Foto REUTERS

3 negara dakwa ujian peluru berpandu Korea Utara cetus provokasi

HONOLULU: Diplomat tertinggi Jepun, Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) sepakat membantah tindakan Korea Utara melancarkan beberapa siri peluru berpandu balistik.

Selepas sehari bermesyuarat di Honolulu, Setiausaha Negara AS, Antony Blinken; Menteri Luar Korea Selatan, Chung Eui-yong dan Menteri Luar Jepun, Hayashi Yoshimasa mengutuk siri tujuh pelancaran itu.

Ketiga-tiga negara, menerusi kenyataan bersama, turut mendakwa Pyongyang cuba 'mengganggu kestabilan'.

Menurut mereka, Pyongyang perlu 'menghentikan perbuatan yang menyalahi undang-undang dan sebaliknya bersama-sama menyertai dialog'.

Blinken berkata Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK) kini dalam fasa provokasi.

"Kami terus berusaha mencari jalan untuk memastikan DPRK bertanggungjawab," katanya sambil merujuk sekatan terbaru dikenakan ke atas lapan individu dan entiti yang terikat dengan kerajaan Korea Utara.

Ketiga-tiga diplomat itu mengulangi komitmen mereka terhadap nyah nuklear seluruh Semenanjung Korea dan kesediaan untuk menyambung semula rundingan dengan Pyongyang.

Ini berikutan tiada tindak balas terhadap cadangan daripada pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, pada tahun lalu.

"Setiausaha dan Menteri Luar menekankan mereka tidak mempunyai niat bermusuhan terhadap DPRK serta menekankan keterbukaan berterusan untuk bertemu DPRK tanpa prasyarat," kata mereka dalam kenyataan itu. - AFP

Berita Harian X