BOGOTA: Sekurang-kurangnya 14 orang terbunuh manakala 35 cedera dalam kejadian tanah runtuh menimpa beberapa rumah di tengah Colombia.
Menurut Agensi Bencana Alam dan Risiko Columbia (UNGRD), bencana di Dosquebradas, berhampiran bandar Pereira, dikatakan akibat daripada hujan lebat di wilayah sekitar penanaman kopi itu.
"Laporan terkini kita menunjukkan bahawa 35 orang cedera, 14 kehilangan nyawa dan seorang masih hilang.
"Usaha mencari dan menyelamat mangsa sedang dilakukan," kata UNGRD di Twitter mengenai tanah runtuh awal pagi di kejiranan La Esneda.
Agensi keselamatan bersama pihak berkuasa turut memindahkan berpuluh-puluh rumah berdekatan ketika sungai Otun melimpah.
Tanah runtuh adalah perkara biasa di Colombia kerana rupa bumi yang bergunung-ganang, hujan lebat yang kerap dan pembinaan rumah yang lemah atau tidak formal.
Bencana tanah runtuh besar yang terbaharu di negara itu berlaku di bandar Mocoa pada 2017, apabila lebih 320 orang terbunuh. - REUTERS