Selasa, 8 Februari 2022 | 6:50am
 Foto fail menunjukkan orang awam cedera dalam serangan pengganas di lapangan terbang Kabul pada Ogos 2021 yang mengorbankan lebih 100 orang termasuk 13 tentera Amerika Syarikat. - Foto AGENSI
Foto fail menunjukkan orang awam cedera dalam serangan pengganas di lapangan terbang Kabul pada Ogos 2021 yang mengorbankan lebih 100 orang termasuk 13 tentera Amerika Syarikat. - Foto AGENSI

AS tawar ganjaran lebih RM41 juta jejak pemimpin IS-K

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menawarkan ganjaran AS$10 juta (RM41.8 juta) kepada mana-mana individu yang menyalurkan maklumat identiti atau lokasi pemimpin DAESH bagi bahagian serantau Afghanistan.

Ganjaran ditawarkan Jabatan Negara AS juga adalah untuk sebarang maklumat yang akan membantu dalam menahan atau mensabitkan kesalahan mereka yang bertanggungjawab ke atas serangan di lapangan terbang Kabul pada 26 Ogos tahun lalu yang didakwa dilakukan kumpulan DAESH Khorasan (IS-K) .

Serangan yang mengorbankan lebih 100 orang termasuk 13 tentera AS dilancarkan ketika AS mengatur pengunduran tenteranya dari Afghanistan dan pemindahan warga Afghanistan yang dianggap terancam selepas Taliban mengambil alih negara itu.

Menurut Washington, Sanaullah Ghafari juga dikenali sebagai Shahab al-Muhajir dilantik sebagai ketua IS-K pada Jun 2020.

IS-K ialah cabang DAESH di Afghanistan yang berasal dari Iraq dan Syria.

"Ghafari bertanggungjawab meluluskan semua operasi ISIS-K di seluruh Afghanistan dan mengatur pembiayaan untuk menjalankan operasi," kata Jabatan Negara dalam satu kenyataan.

Dia disenaraihitamkan pada November sebagai pengganas asing.

Ghafari dikatakan pernah menjadi komander Al-Qaeda atau bekas anggota rangkaian Haqqani, antara puak yang paling berkuasa dan digeruni dalam Taliban.

IS-K bertanggungjawab untuk beberapa serangan maut di rantau ini dalam beberapa tahun kebelakangan ini, membunuh orang awam di Afghanistan dan Pakistan, di masjid, kuil, dataran awam dan hospital.

Kumpulan itu secara khusus menyasarkan umat Islam dari mazhab yang dianggap sesat, termasuk Syiah.

Ia menerima tekanan hebat daripada pejuang Taliban dan pakatan tentera diketuai AS selain kehilangan pengaruh tetapi serangan dilakukan kumpulan itu semakin meningkat sejak saingan mereka mengambil alih kuasa di Afghanistan pada Ogos lalu. - AFP

Berita Harian X