PORT-AU-PRINCE: Banjir yang berlaku akibat hujan lebat di Haiti mengakibatkan empat terkorban, manakala seorang masih hilang, kata pihak berkuasa semalam.
Cuaca buruk menjejaskan sekurang-kurangnya 20 daerah di seluruh Haiti dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini menyebabkan kejadian banjir yang menjejaskan 2,500 rumah dengan tiga daripadanya musnah.
Tiga yang terkorban dilaporkan di barat laut negara Caribbean yang miskin itu. Mangsa keempat yang terkorban pula di timur laut, kata pegawai pertahanan awam.
Sekurang-kurangnya 20 majlis perbandaran di negara itu terjejas akibat cuaca buruk berkenaan. Pihak berkuasa Haiti menganggarkan lebih 2,500 rumah dinaiki air.
Cap-Haitien, bandar kedua terbesar Haiti dengan 300,000 penduduk terjejas teruk dengan beberapa kawasan kejirnan dilanda banjir.
Sebuah jambatan di sebuah bandar kecil di timur laut rosak, manakala sebuah taman perindustrian turut ditenggelami air di kawasan sama bersempadan dengan Republik Dominican.
Bagaimanapun, gambaran penuh mengenai kerosakan itu belum dapat dipastikan kerana perjalanan di bandar itu masih sukar, kata agensi Perlindungan Awam negara itu.
Kerosakan besar ketika hujan lebat di Haiti bukanlah sesuatu yang luar biasa disebabkan oleh infrastruktur saliran yang lemah, selain kekurangan sistem kutipan sampah yang cekap juga menimbulkan bahaya kesihatan ketika hujan lebat. - AFP