Ahad, 30 Januari 2022 | 11:14pm
Gambar hiasan. - Foto AGENSI
Gambar hiasan. - Foto AGENSI

Sub varian BA.2 Omicron punca jangkitan berlipat ganda

CHICAGO: Saintis sedang menjejaki peningkatan penyebaran kes COVID-19 sub varian BA.2 Omicron yang kini menyaingi penularan varian asal BA.1 terutama di Eropah dan Asia.

Varian asal SARS-CoV-2 Omicron yang pantas merebak, dikenali sebagai BA.1 dan kini bertanggungjawab terhadap hampir semua jangkitan coronavirus global, kini menyaksikan kemunculan sub varian BA.2 yang dikhuatiri lebih berbahaya.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada peringkat global BA.1 menyumbang 98.8 peratus daripada kes yang dilaporkan kepada pangkalan data pengesanan virus awam GISAID setakat Selasa lalu.

Namun, menurut agensi itu, terdapat beberapa negara melaporkan peningkatan baru-baru ini dalam sub varian Omicron yang dikenali sebagai BA.2.

WHO turut menyenaraikan dua sub varian lain di bawah 'payung' Omicron iaitu BA.1.1.529 dan BA.3.

Semuanya berkait rapat secara genetik tetapi masing-masing menampilkan mutasi yang boleh mengubah cara mereka berjangkit.

Pakar virologi di Pusat Kanser Fred Hutchinson, yang menjejaki evolusi SARS-CoV-2, menulis di Twitter kelmarin bahawa BA.2 mewakili kira-kira 82 peratus kes di Denmark.

Menurutnya, sembilan peratus pula direkodkan di United Kingdom (UK) dan lapan peratus di Amerika Syarikat (AS) berdasarkan analisisnya penjujukan data daripada pangkalan data GISAID dan kiraan kes projek 'Dunia Kita dalam Data' di Universiti Oxford.

Versi BA.1 Omicron agak lebih mudah untuk dijejaki berbanding varian sebelumnya kerana ia tidak mempunyai salah satu daripada tiga gen yang digunakan bagi ujian reaksi rantaian polimerase (PCR). 

BA.2, yang kadang-kala dikenali sebagai sub varian 'licik' tidak mempunyai 'kecacatan' gen sama seperti BA.1

Malah, saintis sedang memantau menggunakan cara yang sama seperti terhadap varian terdahulu, termasuk Delta, dengan menjejaki bilangan genom virus yang diberikan kepada pangkalan data awam seperti GISAID.

Beberapa laporan awal menunjukkan bahawa kadar kebolehjangkitan BA.2 mungkin lebih tinggi daripada BA.1 yang sangat mudah menular, tetapi tiada bukti setakat ini bahawa ia lebih berkemungkinan kalis perlindungan vaksin.

Berdasarkan data awal, pegawai kesihatan Denmark menganggarkan bahawa BA.2 mungkin 1.5 kali lebih mudah berjangkit berbanding BA.1, walaupun ia mungkin tidak menyebabkan jangkitan yang lebih teruk.

Di England, analisis awal pengesanan kontak dari 27 Disember 2021 hingga 11 Januari lalu oleh Agensi Keselamatan Kesihatan UK (HSA) menunjukkan penularan dalam isi rumah lebih tinggi dalam kalangan kontak orang yang dijangkiti BA.2 (13.4 peratus ) berbanding dengan kes Omicron lain (10.3 peratus). - REUTERS

Berita Harian X