Khamis, 13 Januari 2022 | 9:15am
Gambar fail menunjukkan kawasan berkumpul bagi banduan dalam sebuah penjara di Amerika Syarikat. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan kawasan berkumpul bagi banduan dalam sebuah penjara di Amerika Syarikat. - Foto AFP

Serangan 'ransomware' 'kunci' penjara AS

LOS ANGELES: Serangan ransomware ke atas perisian sebuah penjara di Amerika Syarikat (AS) menyebabkan banduan terkurung dalam sel dan sistem kamera keselamatan tertutup, menurut sebuah dokumen mahkamah.

Penyerang siber menggodam sistem komputer yang mengawal pelayan dan akses internet penjara di Bernalillo County, New Mexico minggu lalu.

Untuk tempoh yang singkat, sistem pintu automatik penjara itu tertutup, memaksa kakitangan di Pusat Tahanan Metropolitan (MDC) membuka kunci setiap sel secara manual apabila tahanan perlu keluar untuk bersenam atau beriadah.

"Kekurangan liputan kamera... mewujudkan kebimbangan keselamatan yang ketara terhadap keselamatan kakitangan dan banduan ketika mereka berada di luar sel.

"Ini bermakna banduan, malah kehadiran mereka dalam kumpulan awam dihadkan sementara waktu di sel masing-masing.

"Penghuni hanya dikeluarkan dari sel mereka untuk rawatan perubatan tetapi tidak dihadkan 'masa tamat' yang berstruktur," kata maklumat dalam fail mahkamah pada 6 Januari.

Penjara itu adalah salah satu kemudahan yang terjejas akibat serangan siber itu yang turut memusnahkan perkhidmatan di seluruh Bernalillo, daerah paling ramai penduduk di New Mexico.

Siaran berita bertarikh 10 Januari berkata daerah itu terus terjejas oleh 'isu siber' termasuk pengeluaran lesen perkahwinan, pendaftaran pengundi dan transaksi hartanah.

"Orang ramai diminta memahami betapa beratnya isu ugutan perisian ini dan pada masa ini, perkhidmatan pejabat daerah masih terhad," menurut kenyataan yang dikeluarkan.

AFP gagal mendapatkan komen pihak penjara berhubung perkara itu dan tiada maklumat mengenai siapa di sebalik serangan siber itu atau apakah tuntutan mereka.

Serangan perisian tebusan berlaku apabila penggodam mengambil data daripada mangsa atau mengawal sistem komputer sehingga wang tebusan dibayar, menjadi semakin berleluasa apabila lebih banyak perniagaan rasmi dan komersial dijalankan dalam talian.

Tahun lalu, AS menawarkan ganjaran AS$10 juta (RM41.86 juta) bagi mencari ketua kumpulan 'Darkside' berpangkalan di Russia, yang dipersalahkan Washington atas penggodaman menutup salah satu saluran paip minyak terbesar di negara itu.

Lebih daripada setengah bilion dolar membabitkan pembayaran berkaitan perisian tebusan dilaporkan kepada pihak berkuasa AS pada separuh penggal pertama 2021, namun kos sebenar dikhuatiri jauh lebih tinggi.

Syarikat dan institusi kini berdepan tekanan hebat untuk membayar tebusan perisian supaya data mereka boleh diakses semula selain dimarahi pelanggan dan pihak berkuasa kerana memberikan wang kepada penjenayah. - AFP

Berita Harian X