Sabtu, 8 Januari 2022 | 6:29pm
Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, Dr Rochelle Walensky. - Foto REUTERS
Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, Dr Rochelle Walensky. - Foto REUTERS

COVID-19: Jumlah kanak-kanak masuk hospital membimbangkan

WASHINGTON: Kemasukan kanak-kanak di bawah usia lima tahun ke hospital dengan COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) melonjak ke tahap tertinggi beberapa minggu kebelakangan ini, sejak pandemik bermula.

Berdasarkan data kerajaan semalam, kedudukan semasa satu-satunya kumpulan umur yang belum layak untuk mendapatkan vaksin itu amat membimbangkan.

Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, Dr Rochelle Walensky, berkata trend membimbangkan itu membuktikan keperluan mereka yang layak mendapat vaksin untuk segera mendapatkannya bagi melindungi orang di sekeliling.

"Kadar kemasukan ke hospital meningkat bagi semua peringkat umur, kanak-kanak masih mempunyai kadar kemasukan ke hospital paling rendah berbanding mana-mana kumpulan.

"Jika dibandingkan pada awal wabak bermula, kanak-kanak adalah golongan paling ramai dimasukkan ke hospital.

"Kami masih belajar lebih lanjut mengenai keburukan Omicron terhadap kanak-kanak dan sama ada peningkatan ini mencerminkan beban penyakit yang lebih besar dalam komuniti atau kadar vaksinasi lebih rendah untuk kanak-kanak bawah umur 18 tahun," katanya.

Menurut data CDC, kadar kemasukan ke hospital dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun melonjak kepada lebih empat dalam 100,000 orang, meningkat daripada 2.5 bagi setiap 100,000 orang.

Secara perbandingan, kadar kemasukan ke hospital bagi kanak-kanak berusia antara lima hingga 17 tahun ialah seorang dalam setiap 100,000 orang.

Kata Walensky, hanya lebih 50 peratus kanak-kanak berusia antara 12 hingga 18 tahun sudah diberi vaksin sepenuhnya dan hanya 16 peratus daripada mereka berusia antara lima hingga 11 tahun diberi vaksin sepenuhnya.

Sehingga Selasa lalu, purata bilangan kanak-kanak dan remaja yang dimasukkan ke hospital setiap hari dengan COVID-19 adalah 766 pesakit, dua kali ganda daripada angka yang dilaporkan dua minggu lalu. - AGENSI

Berita Harian X