Sabtu, 8 Januari 2022 | 3:26pm
Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, Amerika Syarikat. - FOTO REUTERS
Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, Amerika Syarikat. - FOTO REUTERS

Skandal 1MDB: Perbicaraan kes Roger Ng di AS bermula Februari

NEW YORK: Mahkamah Persekutuan di Brooklyn, Amerika Syarikat (AS), semalam menetapkan kes bekas pegawai bank Goldman Sachs (GS.N) yang didakwa berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), akan dibicarakan pada bulan depan.

Ketua Hakimnya, Margo Brodie, berkeyakinan perbicaraan itu akan dapat diteruskan mengikut tarikh berkenaan meskipun berdepan ancaman penularan varian baharu COVID-19, Omicron.

Beliau menangguhkan pemilihan juri untuk perbicaraan kes Roger Ng itu selama tiga minggu kepada 7 Februari depan, dengan perbicaraan dijadualkan bermula pada minggu berikutnya.

Sebelum ini, pemilihan juri berkenaan ditetapkan pada 18 Januari ini.

Ng yang juga bekas ketua pelaburan perbankan bagi Goldman Sachs Malaysia, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat melanggar undang-undang antirasuah dan pengubahan wang haram.

Pada Oktober 2020, bekas majikannya bersetuju untuk membayar AS$2.9 bilion (RM12.2 bilion) dan sebuah unit Malaysia mengakui salah laku jenayah, bagi menyelesaikan siasatan oleh Jabatan Keadilan AS serta pihak lain berhubung skandal dana berbilion dolar daripada 1MDB.

Terdahulu, pendakwa raya memohon perbicaraan kes Ng ditangguhkan hingga hujung Februari depan, atas alasan penularan Omicron boleh menyebabkan gangguan dan menyekat perjalanan saksi kerajaan dari Hong Kong, Singapura serta United Kingdom (UK).

Namun, Brodie berkata, perbicaraan diadakan di Brooklyn dan tempoh penangguhan yang singkat adalah memadai berdasarkan jangkaan pakar epidemiologi pihak mahkamah.

"Ia akan menjadi lebih mudah untuk kita mendapatkan kumpulan juri. Ini kerana menurut pakar epidemiologi, penularan virus itu akan memuncak pada Januari. Maka saya fikir, ia akan ke arah penghujungnya nanti," katanya.

Bagaimanapun, peguam Ng membantah perbicaraan itu ditangguhkan, dengan memaklumkan beliau kini bersedia untuk meneruskannya selepas lebih tiga tahun berjauhan dari keluarga sejak ditahan di Malaysia pada November 2018. Ng telah diekstradisi enam bulan kemudian.

"Anak guam saya menghabiskan setiap satu daripada 1,000 hari terakhir yang lalu untuk membuat persediaan menghadapi perbicaraan ini, dan itulah yang beliau akan terus lakukan sehingga perbicaraan selesai," kata peguam Ng, Marc Agnifilo kepada mahkamah, sebelum menerima penangguhan selama tiga minggu. - REUTERS

Berita Harian X