Jumaat, 7 Januari 2022 | 9:10am
Orang utan bernama Sandai di Zoo Buin adalah antara 10 haiwan yang sudah melengkapkan vaksinasi COVID-19 di Chile, yang kembali mencatatkan rekod tertinggi jangkitan coronavirus sejak Julai lalu. - Foto AFP
Orang utan bernama Sandai di Zoo Buin adalah antara 10 haiwan yang sudah melengkapkan vaksinasi COVID-19 di Chile, yang kembali mencatatkan rekod tertinggi jangkitan coronavirus sejak Julai lalu. - Foto AFP

Chile mula suntik dos keempat vaksin COVID-19 minggu depan

SANTIAGO: Chile menjadi negara pertama di Amerika Selatan yang akan menyuntik dos keempat vaksin COVID-19 bermula Isnin ini, dengan mereka yang lemah imuniti badan diberi keutamaan.

Presiden Chile, Sebastian Pinera, membuat pengumuman itu ketika negara terbabit mencatatkan ke sjangkitan harian coronavirus tertinggi dalam tempoh enam bulan.

"Kes baru agak stabil sehingga kemunculan varian Omicron, yang menyebabkan kadar jangkitan melonjak secara ketara, sama seperti di kebanyakan negara lain.

"Seseorang yang tidak mempunyai perlindungan lengkap menghadapi risiko enam kali ganda dijangkiti COVID-19 dan 20 kali ganda dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) berbanding mereka yang sudah menerima dos penggalak," katanya.

Proses inokulasi Chile amat berjaya dengan 87 peratus penduduknya yang berusia lebih tiga tahun sudah diimunisasi sepenuhnya dan hampir 67 peratus sudah menerima dos penggalak.

Bagaimanapun, kata Pinera, pengamalan membuktikan keberkesanan vaksin dan dos penggalak berkurangan selepas tempoh tertentu selain menghadapi ancaman varian baharu.

Mereka yang berusia lebih 12 tahun dengan sistem imuniti badan lemah akan menerima dos keempat vaksin mulai Isnin ini manakala mereka yang berusia lebih 55 tahun boleh mendapatkan suntikan penggalak bermula 7 Februari ini, asalkan enam bulan sudah berlalu sejak suntikan vaksin terakhir.

Semalam, Chile melaporkan 3,134 mangsa dijangkiti COVID-19 termasuk 30 kematian.

Pinera berkata, kali terakhir negara itu merekodkan sebegitu banyak kes ialah pada 8 Julai lalu, di mana 2,167 orang memerlukan bantuan pernafasan berbanding hanya 404 pesakit kali ini.

Sementara itu, kadar kematian pada Julai lalu adalah enam kali ganda, dengan iaitu 186 mangsa dilaporkan maut. - AFP

Berita Harian X