Rabu, 5 Januari 2022 | 9:47am
Pesara tentera warga Columbia, Mario Antonio Palacios, 43, dan beberapa individu lain didakwa di terbabit dalam pembunuhan Presiden Haiti, Jovenel Moise, Julai lalu. - Foto REUTERS
Pesara tentera warga Columbia, Mario Antonio Palacios, 43, dan beberapa individu lain didakwa di terbabit dalam pembunuhan Presiden Haiti, Jovenel Moise, Julai lalu. - Foto REUTERS

AS dakwa suspek bunuh Presiden Haiti

MIAMI: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mengemukakan pertuduhan terhadap seorang pesara tentera Columbia, yang didakwa dalam pembunuhan Presiden Haiti, Jovenel Moise, Julai lalu.

Jabatan Kehakiman AS menerusi kenyataan, berkata Mario Palacios, 43 dan beberapa individu lain didakwa terbabit dalam kegiatan untuk menculik atau membunuh Presiden Haiti.

Palacios diberkas di lapangan terbang Panama, Isnin lalu selepas menaiki penerbangan dari Miami, AS menerusi perjanjian ekstradisi sukarela.

Sekiranya disabit bersalah, Palacios berdepan hukuman penjara seumur hidup. Beliau kemudian direman dan dijadual dihadapkan ke Mahkamah Miami.

Pasukan pendakwa AS berkata, plot terhadap Moise pada asalnya terarah kepada rancangan untuk sekadar menculik pemimpin berkenaan, namun ia bertukar kepada episod pembunuhan.

Pada 7 Julai 2021, Palacios dan beberapa individu lain didakwa menceroboh masuk ke kediaman Moise di Haiti, dengan niat dan tujuan untuk membunuh Presiden Haiti.

Berdasarkan kenyataan sama, mereka yang terbabit dalam plot pembunuhan berkenaan ialah 10 rakyat Columbia dan sekumpulan individu yang mempunyai kerakyatan Haiti-AS.

Palacios dalam perjalanan ke Columbia selepas dihantar pulang oleh Jamaica kerana negara berkenaan mendapati kurang bukti untuk mengaitkannya dengan kejadian pembunuhan.

Bagaimanapun, Palacios kemudian ditahan ketika tiba di Lapangan Antarabangsa Tocumen di Panama.

Selepas ditahan, Ketua Perkhidmatan Imigresen Panama, Samira Gozaine, berkata Palacios 'menerima perjanjian ekstradisi sukarela, sekali gus menyaksikan dia menaiki penerbangan ke Miami'.

Selain itu, katanya, Interpol mengeluarkan waran terhadap pesara tertera terbabit atas pertuduhan membunuh dan bersekongkol dalam pembunuhan.

Perdana Menteri Haiti, Ariel Henry, yang mengambil alih teraju kepemimpinan selepas pembunuhan Moise berkata, beliau juga menjadi sasaran cubaan pembunuhan, minggu lalu ketika perayaan Hari Kebangsaan.

Menerusi kenyataan, beliau juga menyambut baik pertuduhan yang dikemukakan terhadap Palacios.

"Perdana Menteri Ariel Henry menuntut keadilan... bukan hanya untuk bekas Presiden tetapi seluruh ahli keluarganya dan negara ini," kata pejabatnya menerusi kenyataan. - AFP

Berita Harian X