Selasa, 4 Januari 2022 | 10:21am
- FOTO AFP
- FOTO AFP

11 maut banduan cuba lari dari penjara Haiti

PORT-AU-PRINCE: Sepuluh banduan maut dalam cubaan melepaskan diri daripada penjara yang menyaksikan seorang polis turut terbunuh dalam insiden pada Jumaat lalu.

Polis berkata, tiga lagi pegawai polis cedera parah dan dipindahkan untuk mendapat rawatan di Cuba.

"Jumlah kematian 11 orang termasuk seorang pegawai polis," kata jurucakap polis, Gary Desrosiers mengenai insiden yang berlaku di Croix-des-Bouquets, di luar ibu kota Haiti.

Insiden bermula pada tengah hari Jumaat, apabila sekumpulan banduan yang bersenjata cuba lari keluar dari penjara kedua terbesar di negara itu.

Banduan itu menjadikan tiga pegawai polis dan seorang jururawat sebagai tebusan, menurut Desrosiers.

Banduan terbabit merampas tiga senjata disimpan di pejabat penjara ketika cuba memasuki ruang keselamatan, namun pasukan khas polis yang dipanggil, berbalas tembak dengan mereka.

Susulan itu, empat senjata yang diseludup ke dalam penjara ditemui termasuk tiga senjata dirampas daripada pengawal.

Pada Februari 2021, lebih 400 banduan cuba melarikan diri dari penjara sama, mengakibatkan 25 orang maut termasuk pengarah penjara. - AFP

Berita Harian X