Isnin, 3 Januari 2022 | 3:56pm
(Gambar fail dari kiri) Putin, Zelensky dan Biden. - FOTO AFP
(Gambar fail dari kiri) Putin, Zelensky dan Biden. - FOTO AFP

AS akan bertindak balas tegas jika Russia serang Ukraine

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, semalam sekali lagi meyakinkan rakan sejawat di Ukraine, Volodymyr Zelensky, bahawa Washington 'akan bertindak balas secara tegas' jika Russia terus menyerang negara jirannya yang pro-Barat itu.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki, dalam satu kenyataan berkata Biden melalui panggilan telefon dengan Zelensky telah 'menyatakan secara jelas' bahawa AS akan mengambil tindakan itu bersama sekutu dan rakannya, susulan peningkatan tentera Russia yang ditempatkan di sempadan Ukraine.

AS menzahirkan sokongan kepada Ukraine, beberapa hari selepas Biden memberi amaran kepada Presiden Russia, Vladimir Putin, mengenai akibat buruk yang menanti jika Moscow melancarkan serangan ketenteraan.

Dalam perbualannya dengan Zelensky, Biden juga menekankan komitmen Washington terhadap prinsip 'tiada apa-apa mengenai anda tanpa anda', yang jelas merujuk kepada perlunya memasukkan Ukraine dalam rundingan mengenai masa depan negara itu sendiri.

Susulan itu dalam kenyataan melalui Twitter, Zelensky berkata, beliau menghargai sokongan AS yang tidak berbelah bahagi, dan menyifatkan panggilan telefon berkenaan 'membuktikan sifat istimewa' hubungan kedua-dua negara.

Pegawai atasan AS dan Russia dijadual mengadakan mesyuarat di Geneva pada 9 dan 10 Januari ini bagi membincangkan krisis berkenaan.

Biden turut bercakap dengan Putin pada minggu lalu - perbualan kali kedua melalui telefon antara kedua-dua pemimpin terbabit dalam tempoh tiga minggu - ketika ketegangan kian memuncak berhubung isu Ukraine.

Biden memaklumkan bahawa dalam perbualan dengan Putin itu, pihaknya sudah menegaskan secara jelas bahawa Russia tidak boleh menyerang Ukraine.

Selain itu, Biden bekata, beliau juga menyatakan secara terang kepada Putin bahawa AS akan mengenakan sekatan yang teruk dan meningkatkan kehadiran Washington di Eropah, bersama sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sekiranya Russia menyerang Ukraine.

Seterusnya, Psaki berkata, Biden mengulangi komitmen AS terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine, di samping menzahirkan sokongan kepada langkah pembinaan keyakinan bagi meredakan ketegangan di Donbas serta diplomasi secara aktif bagi memacu pelaksanaan Perjanjian Minsk.

Bawah Perjanjian Minsk, Ukraine bersetuju untuk melaksanakan pembaharuan politik, manakala Russia bersetuju menamatkan sokongannya kepada pemberontak pemisah pro-Russia. - AFP

Berita Harian X